Cari Blog Ini

Isnin, 29 Disember 2014

SUSUNAN CORAK KAIN SONGKET

Tenunan Songket membawa kemegahan dan kecemerlangan kepada seni tenunan serta meletakkan seni ini ke martabat yang paling tinggi dengan ragam hias, motif dan teknik pembuatannya yang unik (Siti Zainon Ismail, 2006). Di zaman silam, motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan strata atau kedudukan seseorang (Haziyah Hussin, 2006). Kini, kain ini digunakan oleh golongan masyarakat biasa dan berkembang mengikut peredaran zaman dengan mengekalkan motif dan corak tradisi.

Motif Songket
Motif yang kerap digunakan untuk menenun songket diilhamkan daripada alam semulajadi. Antara motif-motif yang digunakan untuk menghasilkan songket adalah seperti Motif Tumbuh-tumbuhan (Pucuk Rebung, Tapak Manggis, Bunga Raya, Bunga Teratai dan Bunga Daun Sirih), Motif Binatang (Lawi Ayam), Motif Alam (Bunga Bintang), Motif Benda (Rumah dan Bangunan) dan Motif Kuih (Lopak Tikam) (Haziyah Hussin, 2006). Biasanya motif rekacorak yang menghiasi kain songket kebanyakannya berasaskan tumbuh-tumbuhan. Motif tumbuhan yang digunakan meliputi bentuk bunga, daun atau pucuk dan bahagian tampuk buah-buahan. Dengan teknik menenun yang tersendiri, kesemua bentuk motif terhasil dalam corak geometrik (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 2010).

 Susunan Corak Songket
Lazimnya motif-motif pada kain songket disusun dengan Susunan Bunga Penuh, Susunan Bunga Bertabur dan Susunan Bercorak (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 2010). Terdapat juga susunan corak lain pada songket iaitu Susunan Beragi atau Berkotak, Susunan Bunga Lap Berantai dan Susunan Bersulam (Haziyah Hussin, 2006). 

Susunan Bunga Penuh
Corak penuh bersulam juga dikenali songket cuban. Motif benang emas dan perak ditenun memenuhi keseluruhan kain (Haziyah Hussin, 2006)

Susunan Bunga Tabur
Corak ditenun secara bertaburan dan tidak terikat atau berangkai antara satu sama lain. Motif bunga yang ditenun ialah bunga tanjung, bunga buah cermai, bunga buah kesemak dan lain-lain. Taburan pada kain songket juga dilengkapi dengan garisan corak di kepala dan kaki kain (Haziyah Hussin, 2006)

Susunan Bercorak
Susunan motif dibuat secara jaluran berdiri, melintang atau penuh.  Susunan motif bagi mengghasilan corak biasanya banyak menggunakan benang bewarna bagi menggantikan benang emas dan perak. (Haziyah Hussin, 2006)

Bahagian Songket
Ragamhias masih dipertahankan terutama dalam aspek pembahagian dan penempatan beberapa bentuk bahagian kain seperti Badan kain, Kepala kain, Pengapit kain dan Tepi kain (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 2010). Bunga atau hiasan di kepala kain di tenun mengikut citarasa penenun. Corak atau ragam hias tersebut dikenali dengan nama-nama seperti tampuk manggis, pucuk rebung dan lawi ayam (Perpustakaan Negara Malaysia, 2000) manakala motif ‘awan larat’ pula dijadikan sebagai tepi kain (Haziyah Hussin, 2006). 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan