Cari Blog Ini

Isnin, 29 Disember 2014

SONGKET DAN BATIK

Seni songket dan batik merupakan bidang kraf tangan budaya yang menjadi identiti bangsa Malaysia yang unggul. Ia merupakan tekstil tradisional Melayu yang unik dan kaya dengan nilai keindahan atau estetika. Kedua-duanya menggabungkan unsur-unsur budaya yang melambangkan corak, pandangan dan pemikiran dalam masyarakat.
Songket adalah hasil daripada tenunan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama-sama dengan benang emas atau perak (Haziyah Hussin, 2006). Nama “kain songket” berasal daripada teknik membuat songket, iaitu menyongket atau menyolek bunga (emas) pada tenunan sutera.  Pada amnya songket terbahagi kepada dua jenis, iaitu tekat tiga dan tekat lima (Siti Zainon Ismail, 2006). Di Asia, seni tekstil dikatakan berkembang dengan pesat setelah perhubungan dagangan dengan negara luar terjalin. Orang Tionghua menyediakan sutera manakala orang India menyumbangkan benang emas dan perak (Norwani Mohd. Nawawi, 2002).
Perkembangan tenunan songket bermula di perkampungan Gerung, Tumpat. Penempatan pembuatan songket amat popular dikawasan kampung terutamanya di negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang. Kelantan merupakan salah sebuah negeri di Malaysia yang mempunyai sejarah penenunan yang awal iaitu pada 1610 s.m. Penenunan songket telah dijalankan semasa pemerintahan Long Pandak (1974-1800) sehingga zaman pemerintahan Sultan Mansur (1890-1910). Terengganu juga terkenal dengan sejarah penenunan songket yang dipercayai bermula awal abad ke 18 (Siti Zainon Ismail, 2006).
Pada zaman dahulu, songket merupakan lambang kemegahan, kemewahan dan ketertinggian terutamanya golongan raja atau pembesar. Kini, songket telah digunakan oleh masyarakat biasa tidak mengira pangkat atau keturunan. Selalunya pemakaian songket dimonopoli oleh golongan hawa kerana mereka terpukau dengan pembuatannya yang halus dan unik (Norwani Mohd Nawawi, 2002). Tradisi menenun masih dapat dikekalkan sebagaimana seratus tahun dahulu. Alat-alat tenun, motif dan ragam hiasnya memperlihatkan keindahan dan kesempurnaannya masih segar hingga ke hari ini (Haziyah Hussin, 2006).
Batik pula adalah pencorakan tekstil menggunaan lilin dan bahan pewarna dari alam semulajadi mahupun pewarna moden (Asharil Suhardi Abdullah, 2004). Perkataan "batik" terbit dari perkataan Jawa "ambatik". Perkataan akhir "tik" bermaksud menitik atau melukis titik-titik (Abdullah Mohamaed, 1990). Kemunculan batik penuh rahsia dan masih dipertikaikan sehingga pernah para arkeologi membuat kenyataan bahawa ‘batik’ lahir di negara-negara Timur.
Konsep asal penghasilan batik adalah dari tamadun Mesir purba, walaupun pada hakikatnya istilah ‘batik’ sebenarnya muncul dari negeri-negeri di kepulauan Melayu (D’zul Haimi Md.Zain, 1984). Batik di Malaysia mula di ketahui pada abad ke 18 apabila wujudnya Batik Minah Pelangi di Terangganu (Siti Zainon Ismail, 1986). Batik mula diperkenalkan di negeri Kelantan pada tahun 1910. Dalam tahun 1911, Haji Che Su bin Haji Ishak memulakan perusahaan Batik di Kelantan. Pada tahun 1922 beliau telah mengeluarkan batik menggunakan blok kayu. Pada tahun 1926 kemasukan pewarna kimia dari Eropah telah membawa perkembangan Batik (Perpustakaan Negara Malaysia, 2000). Tidak dinafikan, batik Kelantan dan Terengganu banyak dipengaruhi corak-corak batik dari batik Jawa sehingga suatu ketika dinamakan kain batik Lasem Kelantan, kain batik Solo Kelantan dan kain batik Pekalongan Kelantan.
Kini batik Malaysia telah berkembang pesat dan dapat menghasilkan identiti tersendiri daripada pelbagai pengalaman dan eksperimentasi (Norwani Md. Nawawi, 2008). Menurut Sullivan F., 1968 dalam Harozila binti Ramli. (2007)…lukisan batik akan menjadi lambang kesenian negara bagi Malaysia, bahkan akan menjadi salah suatu kesenian yang cukup sempurna di dunia.”. Ini menunjukkan batik Malaysia telah berkembang melampaui dunianya melalui proses pemodenan konsep, teknik dan falsafah (D’zul Haimi Md.Zain, 1984).
Kain atau tekstil batik dan songket digunakan dan mempunyai tujuan yang tersendiri. Pada zaman dahulu songket hanya dipakai oleh golongan raja dan bangsawan sebagai tanjak, samping, kain selendang dan persalinan diraja bagi menaikkan status mereka. Songket melambangkan kehormatan dalam sesebuah masyarakat melayu (Haziyah Hussin, 2006). Batik pula berfingsi sebagai cenderamata dan digemari sejak kesultanan Melaka lagi, dimana Hang Nadim diperintahkan oleh Sultan Mahmud bagi membeli kain Serasah atau Batik dengan empat puluh bunga pada setiap satunya (A. Samad Ahmad, 1986). Kini, songket mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk menghadiri majlis-majlis tertentu, pakaian pengantin, persembahan kebudayaan dan pertunjukan fesyen (Haziyah Hussin, 2006). Mengikut kajian, kebanyakan pengguna yang memakai songket antara 20 hingga 50 tahun (Norwani Mohd. Nawawi, 2002).
Batik pula digunakan untuk membuat tudung, baju, kain sarung atau batik lepas dan digunakan dalam majlis-majlis formal dan majlis keramaian. Ia menjadi pakaian rasmi kepada kakitangan kerajaan setiap hari khamis bekerja dan turut menjadi pakaian seragam pramugari kapal terbang MAS (Perpustakaan Negara Malaysia, 2000). Kombinasi nilai tradisional dan kontemporari dalam pengeluaran batik dan songket dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa. Keanggunannya diilhamkan pada pelbagai barangan dalam bentuk hantaran perkahwinan, barangan kraftangan, perhiasan dalaman, kelengkapan rumah, cenderamata dan aksesori (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 2009). 
Apa yang selama ini menjadi identiti bangsa, sebagai warisan tradisi wajar dipertahankan terutama membabitkan seni dan budaya tempatan. Justeru, sebagai warisan tradisi khazanah bangsa, seni tekstil ini perlulah dipelihara agar keindahannya tidak terus dilupakan oleh generasi akan datang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan