Cari Blog Ini

Sabtu, 27 Disember 2014

KRAF MELAYU

Sejak dahulu lagi, kebanyakan hasil kraf dihasilkan melalui kemahiran yang diperturunkan dari nenek moyang atau adat resam sesuatu kaum atau puak. Kegiatan pengeluaran produk ini berkait rapat dengan kegiatan yang berkaitan dengan tradisi seseuatu kaum atau puak dan kepercayaan agama terutamanya agama Islam (Wan Ahmad Fuad Wan Abdul Aziz et. al., (1990). Antara jenis-jenis hasil kraftangan yang dibincangkan dalam blog ini ialah anyaman, ukiran kayu, tenunan songket dan batik.

Anyaman
Seni anyaman merupakan sejenis kraf yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat Melayu dan rumpun nusantara. Menganyam merupakan proses menjalin jaluran daun, rotan, lidi, buluh, akar dan beberapa jenis tumbuhan yang lain. Daripada tikar hingga kepada dinding pelindung kediaman, hasil anyaman membentuk persekitaran hidup yang boleh dilihat di mana-mana. Ini tidak menghairankan kerana tumbuh-tumbuhan tropika merupakan sejenis bahan yang amat sesuai dijadikan produk anyaman. Beberapa jenis reka bentuk kraftangan dihasilkan melalui nyaman bagi menghasilkan produk keperluan harian seperti topi, beg, tudung saji, bakul, perabot dan tikar (Siti Zainon Ismail (1986) yang kebanyakannya adalah untuk kegunaan sendiri atau dijual secara kecil-kecilan di pasar terbuka (Marzita Puteh, Sadiah Baharom & Jamal Omar, 2007).
Sebagai contoh anyaman tikar, bahan yang digunakan ialah daun pandan dan mengkuang. Kebanyakan ragam hias yang terdapat pada tikar adalah berbentuk geometri. Ragam hias ini disesuaikan oleh penganyam ada kaitnya dengan bahan yang digunakan iaitu daun pandan atau mengkuang. Daun pandan atau mengkuang yang telah dipotong halus untuk dijadikan jalur-jalur garisan yang kemudiannya dianyam bagi mewujudkan ragam hias pada tikar tersebut. Penggunaan jalur-jalur atau garisan yang panjang ini adalah merupakan ciri atau identiti dan merupakan teknik dalam penghasilan tikar (Khairuddin Talib, 2007).

Ukiran Kayu
Ukiran kayu adalah salah satu hasil seni rupa tradisi Melayu yang terulung. Seni ukir ini telah lama bertapak dalam seni warisan Melayu dan merupakan satu peradaban yang paling tinggi nilainya kerana merupakan salah satu seni yang belum dipengaruhi oleh sebarang unsur-unsur lain dan sebati dengan masyarakat Melayu terutamanya di Semenanjung Malaysia. Ia merupakan satu seni menyobek permukaan papan atau bongkah kayu bagi mencorakkan sesuatu motif (Ismail Said & Ahmad Saifuddin Abdullah, 2001).
Terdapat lima jenis motif yang biasanya diterap pada kayu iaitu flora, fauna, khat, geometri dan kosmos. Proses penyobekan merupakan satu manifestasi ilham tukang ukir kepada satu jisim yang nyata. Menifestasi ini terbentuk secara tebuk tembus atau tebuk timbul. Bentuk yang diukir kebiasaannya tidak menyerupai objek flora secara langsung tetapi diolah dalam bentuk simbolik supaya menyerupai objek tersebut. Pengolahan secara simbolik ini adalah satu seni pertukangan yang wujud sebelum abad ke-16 lagi (Ismail Said & Ahmad Saifuddin Abdullah, 2001).
Ukiran kayu adalah berkonsepkan keseimbangan alam dari segi pemilihan motif, komposisi dan bentuk ukuran. Secara langsung seni ini memberi pengajaran kepada masyarakat agar menghormati sesama manusia, alam, dan tidak sombong sebagaimana gubahan gaya daun yang sentiasa menunduk ke bumi. Pengolahan dan pengertiannya berhubung rapat dengan falsafah ketuhanan (Islam) dan alam semesta beradun mesra dalam kesatuan yang penuh harmoni (Ismail Said & Ahmad Saifuddin Abdullah, 2001).

Tenunan Songket
Songket adalah hasil daripada tenunan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama-sama dengan benang emas atau perak (Haziyah Hussin, 2006). Nama “kain songket” berasal daripada teknik membuat songket, iaitu menyongket atau menyolek bunga (emas) pada tenunan sutera.  Pada amnya songket terbahagi kepada dua jenis, iaitu tekat tiga dan tekat lima (Siti Zainon Ismail, 2006).
Perkembangan tenunan songket bermula di perkampungan Gerung, Tumpat. Penempatan pembuatan songket amat popular dikawasan kampung terutamanya di negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang. Kelantan merupakan salah sebuah negeri di Malaysia yang mempunyai sejarah penenunan yang awal iaitu pada 1610 sebelum masihi. Penenunan songket telah dijalankan semasa pemerintahan Long Pandak (1974-1800) sehingga zaman pemerintahan Sultan Mansur (1890-1910). Terengganu juga terkenal dengan sejarah penenunan songket yang dipercayai bermula awal abad ke 18 (Siti Zainon Ismail, 2006).
Pada zaman dahulu, songket merupakan lambang kemegahan, kemewahan dan ketertinggian terutamanya golongan raja atau pembesar. Kini, songket telah digunakan oleh masyarakat biasa tidak mengira pangkat atau keturunan. Selalunya pemakaian songket dimonopoli oleh golongan hawa kerana mereka terpukau dengan pembuatannya yang halus dan unik (Norwani Mohd Nawawi, 2002). Tradisi menenun masih dapat dikekalkan sebagaimana seratus tahun dahulu. Alat-alat tenun, motif dan ragam hiasnya memperlihatkan keindahan dan kesempurnaannya masih segar hingga ke hari ini (Haziyah Hussin, 2006).

Batik
Batik pula adalah pencorakan tekstil menggunaan lilin dan bahan pewarna dari alam semulajadi mahupun pewarna moden (Asharil Suhardi Abdullah, 2004). Perkataan "batik" terbit dari perkataan Jawa "ambatik". Perkataan akhir "tik" bermaksud menitik atau melukis titik-titik (Abdullah Mohamaed, 1990).
Kemunculan batik penuh rahsia dan masih dipertikaikan sehingga pernah para arkeologi membuat kenyataan bahawa ‘batik’ lahir di negara-negara Timur. Konsep asal penghasilan batik adalah dari tamadun Mesir purba, walaupun pada hakikatnya istilah ‘batik’ sebenarnya muncul dari negeri-negeri di kepulauan Melayu (D’zul Haimi Md.Zain, 1984). Batik di Malaysia mula di ketahui pada abad ke 18 apabila wujudnya Batik Minah Pelangi di Terangganu (Siti Zainon Ismail, 1986). Batik mula diperkenalkan di negeri Kelantan pada tahun 1910. Dalam tahun 1911, Haji Che Su bin Haji Ishak memulakan perusahaan Batik di Kelantan. Pada tahun 1922 beliau telah mengeluarkan batik menggunakan blok kayu. Pada tahun 1926 kemasukan pewarna kimia dari Eropah telah membawa perkembangan Batik (Perpustakaan Negara Malaysia, 2000).
Menurut Sullivan F., 1968 dalam Harozila Ramli. (2007) “…lukisan batik akan menjadi lambang kesenian negara bagi Malaysia, bahkan akan menjadi salah suatu kesenian yang cukup sempurna di dunia”. Ini menunjukkan batik Malaysia telah berkembang melampaui dunianya melalui proses pemodenan konsep, teknik dan falsafah (D’zul Haimi Md.Zain, 1984).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan