Cari Blog Ini

Ahad, 28 Disember 2014

KRAF TRADISONAL MELAYU: PENGGARAPAN IDEA, MENTAFSIR IDEA DAN PENGARUH DALAM MEMBERI MAKNA

Perbezaan dalam menggarap, mentafsir dan memberikan sesuatu kepuasan dalam pembuatan kesenian telah menambahkan keanekaragaman dalam hasil seni terutamanya seni kraf Melayu. Ciptaan-ciptaan baru dan unik telah lahir dari masa ke semasa hasil pengamatan dan penggarapan idea dan dari seorang pencipta kepada seorang pencipta yang lain. Ciptaan-ciptaan seni ini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka dan ia juga digunakan sebagai kehidupan harian (Khairuddin Talib, 2007).

(a)         Proses Garapan Idea
Menurut Al Faruqi dalam Zainon Abdullah (2005), ciri-ciri pernyataan estetika dalam proses penggarapan idea kesenian Islam, ada enam prinsip. Pertama ialah abstraksi atau kemujaradan, kedua struktur modular, ketiganya gabungan berurutan, keempatnya perulangan kelimanya dinamisme dan akhirnya interaksi atau kerumitan. Maksud setiap perinsip tersebut seperti berikut.
Abstraksi atau kemujaradan. Di dalam karya seni Islam salah satu sifat pentingnya ialah infiniti. Corak infiniti dalam kesenian Islam adalah bersifat mujarad dan abstrak. Sekiranya jasad dari alam atau pun subjek rujukan digunakan, subjek tersebut perlulah dinutralisasikan dan digayakan sehingga menghilangkan jasad atau subjek rujukan yang bersifat alamiah tersebut. Sebagai contoh sumber motif seperti daun sirih digarap oleh tukang kraf untuk dijadikan motif daun sirih. Motif daun sirih menjadi lambang kepada daun sirih yang asal.
Struktur modular. Karya-karya kesenian Islam terdiri daripada banyak modul kecil tersusun dan digabungkan menjadi satu susunan yang lebih besar. Setiap modul ini adalah suatu entiti yang membawa satu ukuran kemuncak dan kesempurnaan yang membolehkannya ditanggapi sebagai unit ekpressif dan memuaskan dengan sendirinya. Ciri-ciri ini jelas kelihatan pada raka corak dan susunan motif seni Batik dan songket Melayu. Contoh motif tersebut adalah motif awan larat.
Gabungan berturutan. Modul-modul asas diulang-ulang seterusnya membentuk suatu gabungan besar. Gabungan berturutan yang lebih besar dalam karya-karya kesenian Islam tidak sekali-kali menghancurkan identiti dan ciri unit yang lebih kecil yang telah membentuknya. Ulangan gabungan-gabungan besar dipelbagaikan dan disambung dengan entiti lain yang lebih kecil serta dengan entiti yang lebih besar untuk membentuk gabungan lain yang kompleks. Dengan kaedah ini menghasilkan banyak titik lenyap atau pusat tumpuan estetika. Oleh yang demikian titik fokus tunggal tidak wujud bersama satu kemuncak atau titik kesimpulan. Titik lenyap yang banyak ini menjadikan karya seni Islam tidak menumpukan kepada permulaan atau pengakhiran, dan sentiasa bersifat infiniti.
Perulangan. Kesenian Islam menggunakan perulangan yang sangant banyak. Perulangan motif, modul struktural, dan juga menggunakan kombinasi berturutan yang kelihatan berterusan serta berkesinambungan. Kemujaradan dipertingkat serta diperkukuh dengan mengawal pengasingan unit-unit bahagian, yang menghalang sebarang modul dalam rekabentuk itu daripada dipentingkan atau dibandingkan dengan yang lain. Ciri-ciri pengulangan motif ini sering kali kata dapat amati pada hasil karya kraf Melayu terutamanya pada batik cap dan sulaman songket Melayu.
Dinamisme. Rekabentuk kesenian Islam mestilah dinamik dan bersifat melangkaui lingkungan masa atau ruang. Senibina tugu dan seni tampak banyak menggunakan ruang. Seni-seni itu memenuhi ruang fizikal dan menggunakan unsur-unsur ruang seperti titik, garisan, bentuk dan isipadu. Selain daripada ciri-ciri luaran dalam aspek ruang, ciri-ciri yang dianggap perlu secara universalnya adalah yang mungkin mempunyai orientasi temporal yang agak kuat. Corak infiniti tersebut mestilah berupaya menarik penglihatan dan pemikiran melalui rangkaian pandangan serta wawasan yang mesti difahami secara berangkai-rangkai. Ciri-ciri dinamisme ini banyak dipraktikkan dalam seni ukiran kayu di Malaysia.
Intrikasi atau kerumitan. Ciri intrikasi atau kerumitan ini menambahkan kebolehan sebarang corak atau arabes untuk menarik perhatian serta tumpuan penonton kepada entiti strurtural yang digambarkan. Satu garis lurus atau lembaga, walaubagaimana indah sekalipun dibuat, tidak akan menjadi satu-satunya bahan ikonogerafik bagi sesuatu corak Islam. Perkembangan dinamisme dan momentum corak saujana dapat dilakukan dengan pergandaan unsur-unsur dalaman dengan penambahan kerumitan terhadap perlaksanaan dan penambahan gabungan.

(b)         Proses Mentafsir Idea
Manusia mempunyai emosi dan perasaan mahu meluahkan perasaan mereka. Manusia ingin berkongsi perasaan dan emosinya dengan orang lain. Justeru terdapat pelbagai cara perlakuan manusia bagi menterjemahkan perasaan dan emosinya itu. Wolff, Charlotte dalam bukunya “Psychology of Gesture” (1972) telah mengkaji perlakuan manusia dan menyatakan manusia mengeluarkan pernyataan perasaannya di bawah sedar dan tanpa kawalan diri. Ini menunjukkan manusia dalam kehidupannya mampu mencipta, menampung dan menggunakan simbol sebagai medium untuk berkomunikasi dan manusia hidup dalam belantara simbol. Kemampuan manusia boleh diperolehinya melalui pendidikan, kerana pendidikan merupaakan satu proses budaya. Ini adalah kerana budaya tercipta melalui seni warisan bangsanya. Simbol yang dicipta merupakan hasil daripada imaginasi dan idea yang digarap oleh seniman. Oleh itu symbol tersebut harus ditafsirkan dalam bentuk nyata untuk diamati dan digunakan untuk tujuan tertentu.
Mempelajari cara seniman mentafsir idea untuk membentuk seni dengan memperolehi pelbagai kesan melalui penggunaan asas senireka dan bahasa seni visual. Seniman mentafsir idea dan terusnya merealisasikan idea tersebut bagi mendapat kepuasan diri dan faedah kepada diri dan mayarakat sekitar. Contohnya penghasilan seni  atau barang-barang kraf dapat memberi kepuasan kepada pencipta dan memberi manfaat kepada masyarakat sama ada dengan cara mengamati atau menggunakannya dalam kehidupan seharian. Barang-barang kraf ini dihasilkan adalah mengikut kaedah reka bentuk dan hiasan tertentu. Motif-motif ataupun reka corak yang terdapat pada kraf tersebut adalah merupakan hasil ciptaan tersendiri kerana telah diubahsuai oleh tukang pandai dengan menggunakan daya kreativiti untuk memenuhi kehendak cita rasa tempatan (Khairuddin Talib, 2007).
Corak dan rekaan merupakan satu bidang penting dalam menghasilkan sesuatu karya seni. Pada dasarnya, tanpa corak dan rekaan, hasil seni baik yang tradisional mahupun yang mengikut zaman akan tidak terhasil. Kegiatan ini memberi peluang kepada kita untuk memahami pelbagai cara dalam menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain. Corak dan rekaan dapat dipadankan kepada mana-mana hasil daripada bidang kegiatan lain seperti binaan, kraf dan sebagainya (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2002). Dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2008), corak membawa maksud ragi atau bunga-bungaan pada kain (barang anyaman, tenunan dll) manakala rekaan membawa maksud buatan dan ciptaan. Dari sudut Pendidikan Seni pula, corak merupakan susunan motif sama ada secara teratur, terancang atau secara bebas (Mohd Zaihidee Hj Arshad, 2007). Motif pula membawa maksud sesuatu yang dijadikan dasar atau corak pada lukisan (ukiran dll) (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008), manakala menurut Mohd Zaihidee Hj Arshad (2007) motif ialah sama ada rupa atau bentuk asas dalam satu-satu rekaan atau gubahan. Segala corak rekaan dan motif ini terhasil daripada proses pentafsiran idea. Melalui proses ini idea atau imaginasi pereka akan dapat direalisasikan untuk menjadi produk atau hasil karya kraf.

(c)          Pengaruh Dalam Memberi Makna
Tidak dinafikan jika manusia dikatakan sebagai makhluk budaya. Manusia hidup dalam aura budaya yang penuh dengan simbol-simbol, yang menyiratkan makna, yang difahami dan dihayati bersama dalam kelompok masyarakatnya. Geertz, Clifford (1995) seorang ahli antropologi menyatakan bahawa “Manusia hidup dalam jalinan makna-makna yang ditenunnya sendiri”. Oleh itu, dalam hidup masyarakat majmuk contohnya di Malaysia, sudah pasti pengaruh budaya boleh menyerap antara satu sama lain yang mempunyai budaya yang berbeza. Begitu juga dengan pengaruh agama dan kepercayaan. Ia dapat mempengaruhi norma, cara hidup dan sosial masyarakat termasuklah kesenian seperti kraf tangan.
Seni kraf Melayu ini adalah melambangkan hubungan yang erat antara orang Melayu dengan Agama Islam. Setiap hasil kraf tradisional Melayu mempunyai pengaruh dan keunikan dalam memberi makna yang tersendiri. Penghasilan kraf ini disesuaikan dengan alatan dan bahan yang tertentu. Ini melibatkan budaya penghasilannya seperti penggunaan buluh, kayu dan daun seperti nipah, pandan, terap, palas dan mempelas. Ini sememangnya memperlihatkan kecekapan tukang mahir memanipulasi bahan di persekitarannya. Begitu juga dengan penciptaan ragam hias dan ragam bentuk hasil kraf yang mempunyai pengaruh dan maksud yang tertentu. Karya seni dalam kebudayaan Melayu mempunyai sifat yang unik dan tersendiri, bukan sahaja berbeza dengan karya seni kebudayaan-kebudayaan besar di dunia malahan juga berbeza dengan karya seni daripada kebudayaan kelompok yang berhampiran dengannya (Khairuddin Talib, 2007).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan