Hasil ciptaan seni kraf Melayu jelas menunjukkan pengaruh
Islam di dalam penghasilannya. Ini terbukti dengan penggunaan motif dan ragam
hias dalam penghasilan sesuatu kraf. Penggunaan motif-motif dan ragam hias
dalam hasil karya ini jelas menunjukkan ciri-ciri keislaman. Rupa figura
manusia atau binatang yang sebenar tidak digambarkan dalam ragam hias kraf
tradisional Melayu. Hal ini berlaku kerana berdasarkan ajaran agama Islam
menggambarkan bentuk figura manusia atau binatang yang sebenar adalah haram
hukumnya. Namun begitu, masih kedapatan tukang Melayu menggunakan motif fauna
sebagai subjek untuk mendapatkan sumber ilham dalam penghasilan karya mereka
tetapi dengan menggunakan daya kreativiti, mereka telah membuat beberapa
perubahan, mengubah bentuk tersebut dengan secara stailisasikan hingga bentuk
asal fauna itu tidak kelihatan dengan jelas. Tiada gambaran tentang rupa
binatang dan manusia sebenar dalam ragam hias dan ini membuktikan bahawa Seni
kraf Melayu adalah melambangkan seni Islam (Khairuddin Talib, 2007).
Seni kraf telah menjadi tunjang kepada kebudayaan
masyarakat Melayu sejak turun temurun lagi. Dengan adanya kesenian seperti ini
identiti masyarakat Melayu lebih terserlah dan dikenali ramai (Siti Zainon
Ismail (1986). Kesenian dan keaslian ragam hias yang terdapat dalam kraf
tradisional tetap kekal dan tidak berubah dari dahulu hingga kini. Hasil
ciptaan kraf tradisional kaya dengan unsur-unsur budaya dan ini jelas tercermin
melalui bentuk, gaya ,
sifat, garis, gerak, dan warnanya (Khairuddin
Talib, 2007).
Tidak dapat
dinafikan bahawa terdapat beberapa kraf tradisional Melayu di Malaysia
dipengaruhi oleh budaya luar namun ia adalah serumpun. Contohnya batik Kelantan
dan Terengganu yang banyak dipengaruhi corak-corak batik dari batik Jawa
sehingga suatu ketika dinamakan kain batik Lasem Kelantan, kain batik Solo
Kelantan dan kain batik Pekalongan Kelantan. Namun begitu, kini batik Malaysia
telah berkembang pesat dan dapat menghasilkan identiti tersendiri daripada
pelbagai pengalaman dan eksperimentasi. Norwani Mohd. Nawawi. (2002)
Pengaruh budaya
terhadap seni kraf di Malaysia
kebanyakkan datangnya dari kepulauan Melayu dan nusantara sahaja. Ianya tidak
melibatkan pengaruh dari barat atau luar nusantara walaupun negara ini telah dijajah oleh negara luar seperti Portugis,
Belanda, Inggeris dan termasuk negara timur lain yakni Jepun. Ini sangat
berbeza dengan apa yang berlaku di negara lain yang pernah dijajah. Penjajah
telah menyebar pengaruh budaya serta membudayakan masyarakat tempatan dengan
budaya mereka termasuk penggunaan ragam hias penjajah dalam seni kraf tempatan.
Ini jelas dapat dilihat pada ragam hias yang terdapat dalam seni kraf Filipina
yang menampakkan pengaruh Sepanyol. Oleh itu, orang Melayu harus bersyukur
kerana penjajah tidak menyebar pengaruh budaya mereka dalam budaya dan seni
kraf tempatan. (Khairuddin Talib, 2007).
Kraf yang dihasilkan oleh masyarakat peribumi merupakan
warisan yang memperlihatkan susur galur daripada zaman batu lagi yang
mengingatkan kita tentang jati diri rakyat Malaysia umumnya. Kraf tangan
masyarakat peribumi dihasilkan berdasarkan alam persekitaran yang berkait
dengan alam Melayu. Sumber yang digunakan untuk menghasilkannya juga adalah
yang mudah didapati di sekeliling mereka. Namun Masyarakat pribumi umnya dan
Melayu khususnya menggunakan pemikiran kreatif mereka dalam mengolah dan
mengubah barangan dan objek yang menampilkan aspek budaya, estetik dan fungsi (Khairuddin Talib, 2007).
Aspek Estetik
Menurut Herbert Read dalam buku, “The Meaning of Arts” (1968) seni merupakan penghasilan rupa bentuk
yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik “Art is Expression”. Kesenangan estetik dimaksudkan
adalah merujuk kepada konsep kesenangan yang terhasil kesan oleh penghayatan
terhadap keindahan seni visual. Kepuasan, kenikmatan, kesukaan dan kegembiraan
juga termasuk di dalam kesenangan tersebut.
Apabila menjelaskan makna estetik maka ia banyak
dibincangkan berkaitan dengan deria pengamatan terhadap sesuatu perkara atau
suasana yang menekankan aspek kesenian atau keindahan, bukan menekankan aspek
fungsional serta kecanggihan objek tersebut (Marzita Puteh, Sadiah Baharom
& Jamal Omar, 2007). Dalam memperkatakan nilai estetik bangsa Melayu,
renungi ke dalam diri dan fahami etimologi perkataan estetik ini membawa kepada
‘estetics’ iaitu bidang falsafah yang
mengkaji atau menyelidik tentang keindahan. Estetik dikaitkan dengan istilah
nilai-nilai keindahan, termasuk di dalamnya makna, antara lain elok, molek,
cantik, anggun, bagus, lembut, utuh, seimbang, padu, bening, tenang, hampa,
suram, dinamik, kukuh, hidup, gerak, hambar, sentimental dan tragik (Dolmer,
P., 1997).
Pandangan dari sudut agama, Imam Muslim melalui
penulisan kitabnya, Kitab Al-Iman, menjelaskan tentang kesenangan estetik dan
konsep keindahan sebagai pertemuan antara seseorang yang mempunyai pengetahuan
terhadap mesej atau objek yang ditemui. Dalam erti kata lain, Muslim
menjelaskan seni itu sebagai suatu bentuk ilmu pengetahuan di mana seseorang
yang mempunyai ilmu ataupun pengetahuan seni tersebut akan mencipta serta
melahirkan manifestasi pemikiran dan perasaannya terhadap sesuatu objek yang
dihayatinya melalui karya-karya seni, ataupun setidak-tidaknya akan menghargai
keindahan objek serta karya tersebut, sekiranya tidak mampu menghasilkan karya
seni. Ini adalah kerana seni itu sendiri mempunyai pertalian erat di antara
penggiat dan khalayak seni itu sendiri
(Zulkifli Yaakob & Mohd. Jamel Ismail, 2007).
Kraf tradisional seperti ukiran, batik, tenunan, anyaman,
tekatan, wau, gasing, tembikar dan barang perhiasan sememangnya mempunyai nilai
estetik yang tinggi dan keistimewaannya setaraf dengan seni budaya tamadun luar
(Khairuddin Talib, 2007). Ia
juga mempunyai nilai estetika yang tinggi, contohnya ukiran kayu. Ukiran digunakan pada rumah-rumah Melayu untuk
menambahkan nilai estetik dengan corak yang terkawal. Ia mestilah tidak
mengatasi imej bagunan supaya reka bentuk bangunan dapat dilihat dengan jelas.
Ukiran-ukiran itu berperanan sebagai penyokong rupa atau sendi kepada bentuk
bangunan (Syed Ahmad Jamal, 1992).
Elemen
dan bentuk estetika seni Islam merupakan tanda-tanda tampak yang harus dihasilkan
melalui asas nilai tauhid. Ini disebabkan kesenian Islam sangat menekankan tanda-tanda
tampak yang boleh membawa pemerhati supaya mengingati Tuhan. Tanda-tanda tampak
yang boleh melalaikan manusia dari mengingati Tuhan tidak dibenarkan. Apatah
lagi tanda-tanda tampak tersebut bersifat mengingkari atau bertentangan dengan perintah
Tuhan (Zainon Abdullah, 2005).
Oleh itu ciri-ciri tersebut dapat dilihat pada seni kraf Melayu kerana
masyarakat Melayu telah menerima dan menganuti agama Islam berabad lamanya.
Bentuk
estetika seni Islam terbahagi kepada enam bentuk, menurut Al Faruqi (1986)
dalam Zainon Abdullah (2005).
Iaitu bentuk abstraksi, bentuk strurtur modular, bentuk gabungan berurutan,
bentuk perulangan, bentuk dinamisma dan bentuk kerumitan. Namun begitu
keenam-enam bentuk tersebut dipandu oleh asas estetika Tauhid, yang menjadi
strutrtur asas karya seni Islam. Menurut Zakaria Ali (1989), terdapat enam
prinsip estetika Melayu, iaitu prinsip halus, prinsip berguna, prinsip bersatu,
prinsip berlawan, prinsip berlambang dan prinsip bermakna.
Aspek Fungsi
Seni kraftangan adalah hasil seni yang dicipta untuk
digunakan, tetapi digubah dengan memasukkan unsur-unsur seni untuk memberi
bentuk yang indah dan menarik hati (Siti Zainon Ismail, 1997). Setiap hasil
kraf berfungsi dalam kehidupan harian yang dipengaruhi oleh lokasi, iklim,
pekerjaan, kepercayaan, bahan keperluan, kemudahan serta hubung kait dengan
masyarakat. Contohnya kris dan lembing digunakan sebagai senjata untuk
mempertahankan diri. Parang, sabit dan cangkul digunakan sebagai alat pertanian
manakala bubu digunakan sebagai alat untuk menangkap ikan. Alat untuk kegunaan
harian seperti tikar, tudung saji dan pakaian. Bekas pembakar kemenyan dan gong
digunakan sebagai alat dalam upacara adat istiadat. Wau, gasing dan congkak
dijadikan hobi dan sebagai aktiviti rekreasi. Alat muzik seperti serunai,
rebab, nafiri dan kompang. Digunakan dalam persembahan nyanyian, tarian dan
pertunjukan kebudayaan. Ukiran kayu digunakan sebagai bahan estetika pada rumah
kediaman, istana dan masjid. Perahu dan kolek berfungsi sebagai pengangkutan
air. Baju kebaya labuh, tengkolok, selendang, dokoh, kalung dan cucuk sanggul
dijadikan alat perhiasan dan pakaian (Khairuddin
Talib, 2007).
Kain atau tekstil batik dan songket digunakan dan
mempunyai tujuan yang tersendiri. Pada zaman dahulu songket hanya dipakai oleh
golongan raja dan bangsawan sebagai tanjak, samping, kain selendang dan
persalinan diraja bagi menaikkan status mereka. Songket melambangkan kehormatan
dalam sesebuah masyarakat melayu (Haziyah Hussin, 2006). Batik pula berfingsi
sebagai cenderamata dan digemari sejak kesultanan Melaka lagi, dimana Hang
Nadim diperintahkan oleh Sultan Mahmud bagi membeli kain Serasah atau Batik
dengan empat puluh bunga pada setiap satunya (A. Samad Ahmad, 1986).
Kini, songket mula dipakai oleh golongan rakyat biasa
sebagai pakaian rasmi untuk menghadiri majlis-majlis tertentu, pakaian
pengantin, persembahan kebudayaan dan pertunjukan fesyen (Haziyah Hussin,
2006). Mengikut kajian, kebanyakan pengguna yang memakai songket antara 20
hingga 50 tahun (Norwani Mohd. Nawawi, 2002). Batik pula digunakan untuk
membuat tudung, baju, kain sarung atau batik lepas dan digunakan dalam
majlis-majlis formal dan majlis keramaian. Ia menjadi pakaian rasmi kepada
kakitangan kerajaan setiap hari khamis bekerja dan turut menjadi pakaian
seragam pramugari kapal terbang MAS (Perpustakaan Negara Malaysia , 2000). Kombinasi nilai
tradisional dan kontemporari dalam pengeluaran batik dan songket dapat memenuhi
permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa. Keanggunannya diilhamkan pada
pelbagai barangan dalam bentuk hantaran perkahwinan, barangan kraftangan,
perhiasan dalaman, kelengkapan rumah, cenderamata dan aksesori (Perbadanan
Kemajuan Kraftangan Malaysia ,
2009).
Aspek Makna
Seni Melayu ini merupakan penjelmaan unsur-unsur dari
alam semula jadi kepada satu bentuk seni rupa. Karya ini terhasil daripada
pengamatan dan pemikiran penciptaannya yang dijelmakan melalui impian dan
imaginasi, seterusnya mencerminkan suasana harmoni di antara manusia dan alam
ciptaan tuhan (Khairuddin Talib, 2007).
Unsur-unsur alam ini mengandungi simbol pengertian dan makna yang tertentu
dalam pandangan hidup masyarakat Melayu (Ismail Said & Ahmad Saifuddin
Abdullah, 2001).
Penciptaan keris mempunyai fungsinya yang tertentu.
Keris adalah sejenis senjata tikam yang digunakan secara meluas di keperluan
Melayu pada satu ketika dahulu. Keris merupakan lambang kepahlawanan orang
Melayu. Keunikan rupa bentuk dan hiasannya mempunyai makna yang tersendiri
serta dipercayai mempunyai kesaktian yang luar biasa, keris dianggap sebagai
sejenis senjata penting dan masyarakat dan kebudayaan tradisional Melayu (Khairuddin Talib, 2007).
Seni ukir adalah
antara kraf Melayu yang mempunyi nilai yang tinggi dan memberi makna yang
tertentu kepada pengukir dan pencinta seni yang mengamtinya. Terdapat beberapa
peraturan dan peradaban bagi menghasilkan ukiran yang tinggi nilai seninya.
Pertama, seseorang pengukir harus yakin dan percaya kepada ilmu tauhid dan
diikuti dengan keyakinan diri, keikhlasan dan kejujuran. Selain itu, mereka juga
perlu memahami sifat bahan ukuran dan proses atau kaedah mengukir. Diamping
itu, tukang ukir juga akan menyatakan perasaan peribadinya melaui ukiran yang
diukirnya. Dengan cara ini pengukir boleh memperihalkan ciri-ciri dan sikap mereka
itu terhadap hasil ukirannya (Nik Rashiddin (2000) dalam Ismail Said, 2005).
Pereka kraf Melayu menganggap alam ini sebagai suatu
hiasan yang berfungsi untuk menyerikan kehidupan sementara di dunia dan
kehidupan kekal di akhirat. Dari kesedaran inilah lahirnya ciptaan yang
bermakna dan bukan sahaja sebagai fungsi tetapi memenuhi keperluan kehidupan
dunia yang amat rapat kaitannya dengan akhirat (Khairuddin Talib, 2007).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan