Cari Blog Ini

Isnin, 29 Disember 2014

KRAF TRADISIONAL MELAYU: FALSAFAH, KONEP SAINS & MATEMATIK DAN MAKNA & NILAI


Terdapat pelbagai jenis kraf tradisional contohmya batik, anyaman, tekatan, tembikar, ukiran, tenunan, anyaman, tembikar, wau, gasing dan perhiasan diri (Khairuddin Talib, 2007). Setiap jenis kraf tradisonal ini mempunyai falsafah, konsep sama ada Sians atau Matematik, makana dan nilainya yang tersendiri.

Falsafah
Menurut Zulkifli Hanafi (1996), falsafah kraf Melayu-Islam sebenarnya adalah ekspirasi kecintaan pada keindahan. Keindahan pula lahir dari kejujuran seni yang memerlukan kesabaran dan ketekunan. Falsafah seni kraf Melayu banyak menitikberatkan soal hakum hakam agama Islam. Oleh itu kebanyakan hasil seni kraf Melayu adalah berlandaskan anjaran agama Islam. Dalam hal membuat gambar jasad hidup, terutamanya figura manusia adalah dilarang dan ini banyak dijelaskan dalam hadith dan ayat Al Quran. Menurut Yusuf al Qardawi (2001) yang dipetik dari bukunya “Seni Menurut Perspektif Islam” dalam Zainon Abdullah (2005), telah mengariskan beberapa kesimpulan terhadap hukum gambar dan pembuat gambar.
Jenis gambar yang dilarang keras dan paling berat dosanya ialah gambar-gambar yang di sembah selain Allah. Pembuat gambar ini adalah kafir, jika ia mengetahui dan sengaja melakukannya. Dalam hal ini gambar yang berjasad lebih berat dosanya dan lebih tidak dibenarkan.  Diikuti dengan gambar-gambar yang dibuat dengan tujuan untuk tidak di sembah, tetapi sengaja bermaksud meniru ciptaan Allah atau membuat pengakuan yang ia boleh membuat dan menciptakan makhluk sebagaimana Allah menciptakan makhluk. Gambar ini juga adalah haram. Kerana dengan cara yang demikian, ia telah menghampirkan dirinya kepada kekufuran dan ini bergantung kepada niatnya sendiri.
Seterusnya diikuti dengan gambar-gambar berjasad yang tidak di sembah, tetapi di agung-agungkan seperti gambar-gambar raja-raja, pemimpin pembesar dan lain-lain, yang hendak di abdikan melalui patung-patung, yang mereka dirikan ditempat-tempat terbuka dan tempat-tempat lain, baik yang sempurna bentuknya atau yang tidak sempurna. Gambar ini adalah haram dan pelakunya adalah berdosa. Gambar-gambar berjasad atau patung yang mengambarkan makhluk yang bernyawa yang tidak disucikan dan tidak pula diagungkan. Gambar-gambar ini berdasarkan sepakat ulama adalah haram kecuali yang rendah mutunya seperti mainan kanak-kanak dan bentuk-bentuk boneka yang dibuat dari bahan makanan untuk di makan.
Termasuk dalam erti kata berdosa ialah membuat dan memiliki gambar yang tidak berjisim yang diagungkan seperti gambar-gambar ketua pemerintah, para pemimpin dan lain-lain, lebih-lebih lagi, jika gambar-gambar mereka ini didirikan atau digantungkan. Larangan ini semakin kuat, jika individu-individu yang digambarkan itu, adalah orang-orang yang zalim, fasik dan juga atheis. Kerana mengagungkan mereka bererti menghancurkan Islam. Manakala gambar-gambar makhluk bernyawa yang tidak berjasad tetapi tergolong di dalam aspek berlebih-lebihan dan bermewah-mewahan seperti dinding yang dihiasi dengan gambar-gambar dan seumpamanya, hukumnya adalah makruh.

Konsep Sains dan Matematik
Produk kraf Melayu yang terhasil sudah cukup membuktikan bahawa masyarakat melayu mempunyai daya pemikiran yang bukan hanya mampu mengenalpasti bahan dan proses malah menjalankan perkiraan mental ‘mental arithmetic’ secara tepat dan terperinci dan menaakul secara saintifik di dalam penghasilan produk atau hasil seni. Jika diteliti secara mendalam konsep saintifik dan matematik dalam pemikiran masyarakat Melayu sememangnya tersirat melalui gubahan dan corak yang sangat halus dan berseni yang dihasilkan.
Pemikiran dan kemahiran saintifik dan matematik telah lama wujud di kalangan pandai kraf dan sekaligus menunjukkan ianya memang telah lama berkembang dan digunakan oleh orang Melayu tanpa disedari. Kesenian seni kraf memerlukan banyak kemahiran sains dan matematik untuk menghasilkan kombinasi motif dan corak yang indah dan simetri. Semua ini memerlukan pemikiran dan kebijaksanaan di dalam ilmu sains dan matematik itu sendiri di dalam proses untuk menghasilkankannya (Marzita Puteh, Sadiah Baharom & Jamal Omar, 2007).
Menurut Dolmer, P. (1997), pemikiran saintifik individu berkembang dari peringkat yang rendah kepada peringkat yang lebih tinggi mengikut perkembangan kognitif seseorang individu. Perkembangan pemikiran saintifk berlaku apabila individu berupaya menguasai pengetahuan dan proses saintifik melalui pemikiran logik dan penaakulan. Dari aspek ini individu boleh beroperasi pada peringkat diskriptif di mana mereka menjalankan operasi seperti pemerhatian, menyenaraikan fakta, pengkelasan dan membuat generalisai. Pemikiran saintifik peringkat tinggi pula melibatkan individu menjalankan proses-proses seperti berfikir secara kombinatorial, mengawal pembolehubah dan menjana hipotesis, menjalankan pemikiran-pemikiran berkadaran, kebarangkalian dan korelasi.
Jika diteliti dari peringkat pemprosesan bahan mentah sehingga terhasil produk seninya adalah jelas dan ketara bahawa konsep saintifik memainkan peranan yang besar di dalam kraf. Peringkat pemprosesan bahan mentah melibatkan pemikiran saintifik dari beberapa aspek dimana
pemerhatian yang teliti dibuat terhadap jenis bahan yang diperolehi, mengenalpasti ciri-ciri bahan seperti kematangan, saiz dan jenis, mengkelaskan bahan mengikut ciri dan membuat generalisasi seperti menentukan bahan yang paling sesuai berdasarkan fakta-fakta yang dikumpul (Marzita Puteh, Sadiah Baharom & Jamal Omar, 2007).
Pemikiran sebegini lebih bercorak deskriptif dan banyak menggunakan pengalaman konkrit serta pengetahuan sedia ada mereka. Oleh kerana pendedahan kepada konsep saintifik secara formal tidak diperolehi, masyarakat melayu banyak menggunakan pemikiran serta menaakul secara logik. Pengetahuan ini digunakan dan diuji secara ‘trial and error’ untuk memperoleh bahan paling baik bagi penghasilan produk
Seni kraf masyarakat Melayu juga boleh menceritakan proses pemikiran saintifik peringkat tinggi yang tersirat di dalam setiap gubahan mereka. Diantarannya ialah termasuk keupayaan membuat pemikiran kombinatorial menentukan kombinasi genap dan ganjil di dalan gubahan, keupayaan mengawal pembolehubah dan menjana hipotesis apabila menentukan jumlah penjalin untuk mendapatkan saiz serta bentuk yang diinginkan, menjalankan pemikiran berkadaran, kebarangkalian serta korelasi dalam aspek seperti membuat korelasi di antara saiz bahan dan saiz produk yang dihasilkan, berfikir secara berkadaran apabila menentukan pewarnaan pada bahan mentah dan proses pemikiran secara kebarangkalian terhadap corak yang akan dihasilkan (Marzita Puteh, Sadiah Baharom & Jamal Omar, 2007).
Kenyataan di atas sudah jelas menunjukkan seni kraf Melayu berunsur Islam dengan corak dan pengiraan geometriknya dan proses-proses saintifiknya menceritakan bagaimana masyarakat Melayu dahulu kala berfikir dan menaakul secara saintifik.

Makna dan Nilai
Barangan kraftangan merupakan barangan yang berpotensi untuk dipasarkan. Ianya adalah berbentuk tradisional dan bernilai kebudayaan, ianya dihasilkan dengan menggunakan alat-alat yang senang dan mudah diperolehi (Wan Ahmad Fuad Wan Abdul Aziz et. al.,1990). Kebanyakan cendiakawan barat menyamakan karya-karya tradisi kesenian Islam dengan kraf pertukangan. Namun begitu konsep pertukangan kraf dengan keindahan wujud di dalam karya kesenian Islam. Karya-karya kesenian Islam adalah berlandaskan tauhid dan keesaan Allah. Di dalam mengkaji keindahan kesenian Islam, teori yang di popularkan oleh Ismail al Faruqi dan Lamya al Faruqi sering digunakan. Diantaranya ialah dari segi nilai dan mesej sesebuah karya perlulah terlebih dahulu diberi penekanan estetika berasaskan nilai estetika tauhid. (Zainon Abdullah, 2005).
Hasil karya kraf yang dihasilkan di dalam kesenian Islam hendaklah diberi pengisian nilai-nilai tauhid dan moral berdasarkan Al Quran dan Sunnah. Dengan demikian hasil kraf kesenian Islam akan dikawal oleh peraturan Quran dan Sunah. Hasil kraf yang dipandu oleh Quran dan Sunnah tersebut merupakan nilai sejagat agama Islam yang bersifat universal dan sezaman. Hasil karya yang bersifat sezaman tersebut juga membawa ciri-ciri kesejagatan masyarakat Islam. Konteks kemasyarakatan tersebut di dalam kesenian Islam disebut sebagai ciri kolektif. Karya kraf yang bersifat kolektif tersebut disamping diterima oleh masyarakat Islam sejagat juga berperanan sebagai instrumen untuk menyatukan ummah. Konsep kesatuan tersebut adalah intipati sifat kolektif di dalam seni Islam ataupun konteks berjemaah di dalam agama Islam. Dengan demikian karya kraf yang dihasilkan oleh seniman Melayu-Islam mestilah mempunyai ciri-ciri kolektif. Ciri-ciri koletif tersebut berlawanan dengan sifat-sifat keindividuan apatah lagi kehebatan seniman. Nilai individu dan kehebatan seniman adalah sifat yang terenggang dan jauh dalam kontek tradisi kesenian Islam (Zainon Abdullah, 2005).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan