Cari Blog Ini

Isnin, 29 Disember 2014

SUSUNAN CORAK KAIN SONGKET

Tenunan Songket membawa kemegahan dan kecemerlangan kepada seni tenunan serta meletakkan seni ini ke martabat yang paling tinggi dengan ragam hias, motif dan teknik pembuatannya yang unik (Siti Zainon Ismail, 2006). Di zaman silam, motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan strata atau kedudukan seseorang (Haziyah Hussin, 2006). Kini, kain ini digunakan oleh golongan masyarakat biasa dan berkembang mengikut peredaran zaman dengan mengekalkan motif dan corak tradisi.

Motif Songket
Motif yang kerap digunakan untuk menenun songket diilhamkan daripada alam semulajadi. Antara motif-motif yang digunakan untuk menghasilkan songket adalah seperti Motif Tumbuh-tumbuhan (Pucuk Rebung, Tapak Manggis, Bunga Raya, Bunga Teratai dan Bunga Daun Sirih), Motif Binatang (Lawi Ayam), Motif Alam (Bunga Bintang), Motif Benda (Rumah dan Bangunan) dan Motif Kuih (Lopak Tikam) (Haziyah Hussin, 2006). Biasanya motif rekacorak yang menghiasi kain songket kebanyakannya berasaskan tumbuh-tumbuhan. Motif tumbuhan yang digunakan meliputi bentuk bunga, daun atau pucuk dan bahagian tampuk buah-buahan. Dengan teknik menenun yang tersendiri, kesemua bentuk motif terhasil dalam corak geometrik (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 2010).

 Susunan Corak Songket
Lazimnya motif-motif pada kain songket disusun dengan Susunan Bunga Penuh, Susunan Bunga Bertabur dan Susunan Bercorak (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 2010). Terdapat juga susunan corak lain pada songket iaitu Susunan Beragi atau Berkotak, Susunan Bunga Lap Berantai dan Susunan Bersulam (Haziyah Hussin, 2006). 

Susunan Bunga Penuh
Corak penuh bersulam juga dikenali songket cuban. Motif benang emas dan perak ditenun memenuhi keseluruhan kain (Haziyah Hussin, 2006)

Susunan Bunga Tabur
Corak ditenun secara bertaburan dan tidak terikat atau berangkai antara satu sama lain. Motif bunga yang ditenun ialah bunga tanjung, bunga buah cermai, bunga buah kesemak dan lain-lain. Taburan pada kain songket juga dilengkapi dengan garisan corak di kepala dan kaki kain (Haziyah Hussin, 2006)

Susunan Bercorak
Susunan motif dibuat secara jaluran berdiri, melintang atau penuh.  Susunan motif bagi mengghasilan corak biasanya banyak menggunakan benang bewarna bagi menggantikan benang emas dan perak. (Haziyah Hussin, 2006)

Bahagian Songket
Ragamhias masih dipertahankan terutama dalam aspek pembahagian dan penempatan beberapa bentuk bahagian kain seperti Badan kain, Kepala kain, Pengapit kain dan Tepi kain (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 2010). Bunga atau hiasan di kepala kain di tenun mengikut citarasa penenun. Corak atau ragam hias tersebut dikenali dengan nama-nama seperti tampuk manggis, pucuk rebung dan lawi ayam (Perpustakaan Negara Malaysia, 2000) manakala motif ‘awan larat’ pula dijadikan sebagai tepi kain (Haziyah Hussin, 2006). 

SONGKET & BATIK: TEORI MEMBUAT CORAK DAN REKAAN

Corak dan rekaan merupakan satu bidang penting dalam menghasilkan sesuatu karya seni. Pada dasarnya, tanpa corak dan rekaan, hasil seni baik yang tradisional mahupun yang mengikut zaman akan tidak terhasil. Kegiatan ini memberi peluang kepada kita untuk memahami pelbagai cara dalam menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain. Corak dan rekaan dapat dipadankan kepada mana-mana hasil daripada bidang kegiatan lain seperti binaan, kraf dan sebagainya (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2002). Dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2008), corak membawa maksud ragi atau bunga-bungaan pada kain (barang anyaman, tenunan dll) manakala rekaan membawa maksud buatan dan ciptaan. Dari sudut Pendidikan Seni pula, corak merupakan susunan motif sama ada secara teratur, terancang atau secara bebas (Mohd Zaihidee Hj Arshad, 2007). Motif pula membawa maksud sesuatu yang dijadikan dasar atau corak pada lukisan (ukiran dll) (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008), manakala menurut Mohd Zaihidee Hj Arshad (2007) motif ialah sama ada rupa atau bentuk asas dalam satu-satu rekaan atau gubahan.

Motif dan Sumber Motif
Kita tahu, sejak dari dahulu lagi, motif sesuatu corak terhasil adalah daripada pengamatan pereka-perekanya. Seni melayu misalnya mendapatkan sumber motif dari alam flora seperti bunga, pucuk, daun, ranting dan sebagainya. Ini semua adalah berdasarkan pengamatan orang dulu-dulu dalam menghasilkan sesuatu corak dan rekaan. Seringkali sumber sesuatu motif diilhamkan daripada alam semulajadi (bunga, siput, kayu, serangga dan haiwan), bahan buatan manusia (kerusi, meja, rumah dan gunting), geometri (bulat, segi tiga dan segi empat) dan rupa barangan kraf tradisional (wau, gasing dan keris) (Zulkifli Yaakob & Mohd. Jamel Ismail, 2007). 

Jenis-jenis Motif dalam Membuat Corak dan Rekaan
Motif terbahagi kepada dua jenis iaitu motif organik dan motif geometrikal. Motif organik merupakan motif yang diilhamkan daripada sumber alam seperti hidupandan bahan semulajadi manakala motif geometrikal diilhamkan berdasarkan bentuk-bentuk geometri. Jenis-jenis motif dalam membuat corak dan rekaan ini boleh didapati daripada rupabentuk daripada alam ciptaan ilahi (Buah Mangga, Daun Siti Fatimah, Bunga Teratai dan Bunga Mawar), rupa bentuk geometri (Segiempat, Bulat, Bujur, Segitiga dan geometri lain) dan rupabentuk kraf tradisiomal (Mohd Zaihidee Hj Arshad, 2007).

Corak dan Penghasilan Corak
Corak terdiri daripada struktur susunan ulangan berdasarkan motif dibuat secara terkawal atau bebas. Corak terdiri daripada Corak Terancang dan Corak Tidak Terancang (Zulkifli Yaakob & Mohd. Jamel Ismail, 2007). Di alam Melayu Corak Tradisi pula telah lama dihasilkan dan kekal hingga ke hari ini (Haziyah Hussin, 2000). Corak dapat dihasilkan daripada pelbagai teknik dan cara. 
Corak Terancang dibuat menggunakan motif yang disusun dengan teratur dan dalam susunan tertentu. Motif ini menghasilkan corak yang mempunyai pelbagai jenis susunan, termasuk penggunaan garisan grid dalam penghasilan corak. (Mohd Zaihidee Hj Arshad, 2007). Corak Terancang dapat dihasilkan melalui kaedah lukisan, catan, cetakan, capan, lipatan dan guntingan, resis, kolaj dan kaligrafi (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2002).
Corak Tidak Terancang dihasilkan secara bebas tanpa mempunyai motif tertentu. Ia boleh dihasilkan  dengan cara seperti merenjis, meniup, mengayak, menggolek dan sebagainya (Mohd Zaihidee Hj Arshad, 2007). Corak Tidak Terancang dapat dihasilkan melalui kaedah pualaman, tiupan, titisan, ikatan dan celupan, renjisan dan percikan, tarikan dan lipatan (Zulkifli Yaakob & Mohd. Jamel Ismail, 2007)
Corak Tradisi mempunyai motifnya tersendiri dan mempunyai nama-nama tertentu yang berunsur tradisi. Contoh corak tradisi adalah seperti Corak Bunga Buluh, Corak Bunga Kiambang dan Corak Pokok Rebung (Mohd Zaihidee Hj Arshad, 2007).

Jenis-jenis Susunan dalam Corak dan Rekaan
Terdapat beberapa jenis susunan dalam corak dan rekaan iaitu Corak Ulang Sekata, Corak Berpusat, Corak Cerminan, Corak Bertindih (Bertimbal), Corak Berselang-seli, Corak Batu Bata, Corak Beralaun (Berombak), Corak Penuh, Corak Turun Satu Suku, Corak Turun Tiga Suku, Corak Separa, Corak Sisik Ikan, Corak Tampak Catur (Tampak Dam), Corak Siku Keluang, Corak Orgee, Corak Tunggal, Corak Sendeng, Corak Jidar dan Corak Berjalur (Zulkifli Yaakob & Mohd. Jamel Ismail, 2007).
Teori ini membolehkan kita mengenali dan mengkaji pelbagai corak dalam alam dan kehidupan seharian. Ia juga menegaskan kegiatan mengenal motif dan olahannya untuk menghasilkan rekaan corak tertentu di alam Melayu. Melalui kegiatan ini memberi peluang kepada kita membuat rekaan corak tidak terancang, corak terancang dan juga corak tradisional dengan teknik tertentu (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2002).

SONGKET DAN BATIK

Seni songket dan batik merupakan bidang kraf tangan budaya yang menjadi identiti bangsa Malaysia yang unggul. Ia merupakan tekstil tradisional Melayu yang unik dan kaya dengan nilai keindahan atau estetika. Kedua-duanya menggabungkan unsur-unsur budaya yang melambangkan corak, pandangan dan pemikiran dalam masyarakat.
Songket adalah hasil daripada tenunan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama-sama dengan benang emas atau perak (Haziyah Hussin, 2006). Nama “kain songket” berasal daripada teknik membuat songket, iaitu menyongket atau menyolek bunga (emas) pada tenunan sutera.  Pada amnya songket terbahagi kepada dua jenis, iaitu tekat tiga dan tekat lima (Siti Zainon Ismail, 2006). Di Asia, seni tekstil dikatakan berkembang dengan pesat setelah perhubungan dagangan dengan negara luar terjalin. Orang Tionghua menyediakan sutera manakala orang India menyumbangkan benang emas dan perak (Norwani Mohd. Nawawi, 2002).
Perkembangan tenunan songket bermula di perkampungan Gerung, Tumpat. Penempatan pembuatan songket amat popular dikawasan kampung terutamanya di negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang. Kelantan merupakan salah sebuah negeri di Malaysia yang mempunyai sejarah penenunan yang awal iaitu pada 1610 s.m. Penenunan songket telah dijalankan semasa pemerintahan Long Pandak (1974-1800) sehingga zaman pemerintahan Sultan Mansur (1890-1910). Terengganu juga terkenal dengan sejarah penenunan songket yang dipercayai bermula awal abad ke 18 (Siti Zainon Ismail, 2006).
Pada zaman dahulu, songket merupakan lambang kemegahan, kemewahan dan ketertinggian terutamanya golongan raja atau pembesar. Kini, songket telah digunakan oleh masyarakat biasa tidak mengira pangkat atau keturunan. Selalunya pemakaian songket dimonopoli oleh golongan hawa kerana mereka terpukau dengan pembuatannya yang halus dan unik (Norwani Mohd Nawawi, 2002). Tradisi menenun masih dapat dikekalkan sebagaimana seratus tahun dahulu. Alat-alat tenun, motif dan ragam hiasnya memperlihatkan keindahan dan kesempurnaannya masih segar hingga ke hari ini (Haziyah Hussin, 2006).
Batik pula adalah pencorakan tekstil menggunaan lilin dan bahan pewarna dari alam semulajadi mahupun pewarna moden (Asharil Suhardi Abdullah, 2004). Perkataan "batik" terbit dari perkataan Jawa "ambatik". Perkataan akhir "tik" bermaksud menitik atau melukis titik-titik (Abdullah Mohamaed, 1990). Kemunculan batik penuh rahsia dan masih dipertikaikan sehingga pernah para arkeologi membuat kenyataan bahawa ‘batik’ lahir di negara-negara Timur.
Konsep asal penghasilan batik adalah dari tamadun Mesir purba, walaupun pada hakikatnya istilah ‘batik’ sebenarnya muncul dari negeri-negeri di kepulauan Melayu (D’zul Haimi Md.Zain, 1984). Batik di Malaysia mula di ketahui pada abad ke 18 apabila wujudnya Batik Minah Pelangi di Terangganu (Siti Zainon Ismail, 1986). Batik mula diperkenalkan di negeri Kelantan pada tahun 1910. Dalam tahun 1911, Haji Che Su bin Haji Ishak memulakan perusahaan Batik di Kelantan. Pada tahun 1922 beliau telah mengeluarkan batik menggunakan blok kayu. Pada tahun 1926 kemasukan pewarna kimia dari Eropah telah membawa perkembangan Batik (Perpustakaan Negara Malaysia, 2000). Tidak dinafikan, batik Kelantan dan Terengganu banyak dipengaruhi corak-corak batik dari batik Jawa sehingga suatu ketika dinamakan kain batik Lasem Kelantan, kain batik Solo Kelantan dan kain batik Pekalongan Kelantan.
Kini batik Malaysia telah berkembang pesat dan dapat menghasilkan identiti tersendiri daripada pelbagai pengalaman dan eksperimentasi (Norwani Md. Nawawi, 2008). Menurut Sullivan F., 1968 dalam Harozila binti Ramli. (2007)…lukisan batik akan menjadi lambang kesenian negara bagi Malaysia, bahkan akan menjadi salah suatu kesenian yang cukup sempurna di dunia.”. Ini menunjukkan batik Malaysia telah berkembang melampaui dunianya melalui proses pemodenan konsep, teknik dan falsafah (D’zul Haimi Md.Zain, 1984).
Kain atau tekstil batik dan songket digunakan dan mempunyai tujuan yang tersendiri. Pada zaman dahulu songket hanya dipakai oleh golongan raja dan bangsawan sebagai tanjak, samping, kain selendang dan persalinan diraja bagi menaikkan status mereka. Songket melambangkan kehormatan dalam sesebuah masyarakat melayu (Haziyah Hussin, 2006). Batik pula berfingsi sebagai cenderamata dan digemari sejak kesultanan Melaka lagi, dimana Hang Nadim diperintahkan oleh Sultan Mahmud bagi membeli kain Serasah atau Batik dengan empat puluh bunga pada setiap satunya (A. Samad Ahmad, 1986). Kini, songket mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk menghadiri majlis-majlis tertentu, pakaian pengantin, persembahan kebudayaan dan pertunjukan fesyen (Haziyah Hussin, 2006). Mengikut kajian, kebanyakan pengguna yang memakai songket antara 20 hingga 50 tahun (Norwani Mohd. Nawawi, 2002).
Batik pula digunakan untuk membuat tudung, baju, kain sarung atau batik lepas dan digunakan dalam majlis-majlis formal dan majlis keramaian. Ia menjadi pakaian rasmi kepada kakitangan kerajaan setiap hari khamis bekerja dan turut menjadi pakaian seragam pramugari kapal terbang MAS (Perpustakaan Negara Malaysia, 2000). Kombinasi nilai tradisional dan kontemporari dalam pengeluaran batik dan songket dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa. Keanggunannya diilhamkan pada pelbagai barangan dalam bentuk hantaran perkahwinan, barangan kraftangan, perhiasan dalaman, kelengkapan rumah, cenderamata dan aksesori (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 2009). 
Apa yang selama ini menjadi identiti bangsa, sebagai warisan tradisi wajar dipertahankan terutama membabitkan seni dan budaya tempatan. Justeru, sebagai warisan tradisi khazanah bangsa, seni tekstil ini perlulah dipelihara agar keindahannya tidak terus dilupakan oleh generasi akan datang.


KRAF TRADISIONAL MELAYU: FALSAFAH, KONEP SAINS & MATEMATIK DAN MAKNA & NILAI


Terdapat pelbagai jenis kraf tradisional contohmya batik, anyaman, tekatan, tembikar, ukiran, tenunan, anyaman, tembikar, wau, gasing dan perhiasan diri (Khairuddin Talib, 2007). Setiap jenis kraf tradisonal ini mempunyai falsafah, konsep sama ada Sians atau Matematik, makana dan nilainya yang tersendiri.

Falsafah
Menurut Zulkifli Hanafi (1996), falsafah kraf Melayu-Islam sebenarnya adalah ekspirasi kecintaan pada keindahan. Keindahan pula lahir dari kejujuran seni yang memerlukan kesabaran dan ketekunan. Falsafah seni kraf Melayu banyak menitikberatkan soal hakum hakam agama Islam. Oleh itu kebanyakan hasil seni kraf Melayu adalah berlandaskan anjaran agama Islam. Dalam hal membuat gambar jasad hidup, terutamanya figura manusia adalah dilarang dan ini banyak dijelaskan dalam hadith dan ayat Al Quran. Menurut Yusuf al Qardawi (2001) yang dipetik dari bukunya “Seni Menurut Perspektif Islam” dalam Zainon Abdullah (2005), telah mengariskan beberapa kesimpulan terhadap hukum gambar dan pembuat gambar.
Jenis gambar yang dilarang keras dan paling berat dosanya ialah gambar-gambar yang di sembah selain Allah. Pembuat gambar ini adalah kafir, jika ia mengetahui dan sengaja melakukannya. Dalam hal ini gambar yang berjasad lebih berat dosanya dan lebih tidak dibenarkan.  Diikuti dengan gambar-gambar yang dibuat dengan tujuan untuk tidak di sembah, tetapi sengaja bermaksud meniru ciptaan Allah atau membuat pengakuan yang ia boleh membuat dan menciptakan makhluk sebagaimana Allah menciptakan makhluk. Gambar ini juga adalah haram. Kerana dengan cara yang demikian, ia telah menghampirkan dirinya kepada kekufuran dan ini bergantung kepada niatnya sendiri.
Seterusnya diikuti dengan gambar-gambar berjasad yang tidak di sembah, tetapi di agung-agungkan seperti gambar-gambar raja-raja, pemimpin pembesar dan lain-lain, yang hendak di abdikan melalui patung-patung, yang mereka dirikan ditempat-tempat terbuka dan tempat-tempat lain, baik yang sempurna bentuknya atau yang tidak sempurna. Gambar ini adalah haram dan pelakunya adalah berdosa. Gambar-gambar berjasad atau patung yang mengambarkan makhluk yang bernyawa yang tidak disucikan dan tidak pula diagungkan. Gambar-gambar ini berdasarkan sepakat ulama adalah haram kecuali yang rendah mutunya seperti mainan kanak-kanak dan bentuk-bentuk boneka yang dibuat dari bahan makanan untuk di makan.
Termasuk dalam erti kata berdosa ialah membuat dan memiliki gambar yang tidak berjisim yang diagungkan seperti gambar-gambar ketua pemerintah, para pemimpin dan lain-lain, lebih-lebih lagi, jika gambar-gambar mereka ini didirikan atau digantungkan. Larangan ini semakin kuat, jika individu-individu yang digambarkan itu, adalah orang-orang yang zalim, fasik dan juga atheis. Kerana mengagungkan mereka bererti menghancurkan Islam. Manakala gambar-gambar makhluk bernyawa yang tidak berjasad tetapi tergolong di dalam aspek berlebih-lebihan dan bermewah-mewahan seperti dinding yang dihiasi dengan gambar-gambar dan seumpamanya, hukumnya adalah makruh.

Konsep Sains dan Matematik
Produk kraf Melayu yang terhasil sudah cukup membuktikan bahawa masyarakat melayu mempunyai daya pemikiran yang bukan hanya mampu mengenalpasti bahan dan proses malah menjalankan perkiraan mental ‘mental arithmetic’ secara tepat dan terperinci dan menaakul secara saintifik di dalam penghasilan produk atau hasil seni. Jika diteliti secara mendalam konsep saintifik dan matematik dalam pemikiran masyarakat Melayu sememangnya tersirat melalui gubahan dan corak yang sangat halus dan berseni yang dihasilkan.
Pemikiran dan kemahiran saintifik dan matematik telah lama wujud di kalangan pandai kraf dan sekaligus menunjukkan ianya memang telah lama berkembang dan digunakan oleh orang Melayu tanpa disedari. Kesenian seni kraf memerlukan banyak kemahiran sains dan matematik untuk menghasilkan kombinasi motif dan corak yang indah dan simetri. Semua ini memerlukan pemikiran dan kebijaksanaan di dalam ilmu sains dan matematik itu sendiri di dalam proses untuk menghasilkankannya (Marzita Puteh, Sadiah Baharom & Jamal Omar, 2007).
Menurut Dolmer, P. (1997), pemikiran saintifik individu berkembang dari peringkat yang rendah kepada peringkat yang lebih tinggi mengikut perkembangan kognitif seseorang individu. Perkembangan pemikiran saintifk berlaku apabila individu berupaya menguasai pengetahuan dan proses saintifik melalui pemikiran logik dan penaakulan. Dari aspek ini individu boleh beroperasi pada peringkat diskriptif di mana mereka menjalankan operasi seperti pemerhatian, menyenaraikan fakta, pengkelasan dan membuat generalisai. Pemikiran saintifik peringkat tinggi pula melibatkan individu menjalankan proses-proses seperti berfikir secara kombinatorial, mengawal pembolehubah dan menjana hipotesis, menjalankan pemikiran-pemikiran berkadaran, kebarangkalian dan korelasi.
Jika diteliti dari peringkat pemprosesan bahan mentah sehingga terhasil produk seninya adalah jelas dan ketara bahawa konsep saintifik memainkan peranan yang besar di dalam kraf. Peringkat pemprosesan bahan mentah melibatkan pemikiran saintifik dari beberapa aspek dimana
pemerhatian yang teliti dibuat terhadap jenis bahan yang diperolehi, mengenalpasti ciri-ciri bahan seperti kematangan, saiz dan jenis, mengkelaskan bahan mengikut ciri dan membuat generalisasi seperti menentukan bahan yang paling sesuai berdasarkan fakta-fakta yang dikumpul (Marzita Puteh, Sadiah Baharom & Jamal Omar, 2007).
Pemikiran sebegini lebih bercorak deskriptif dan banyak menggunakan pengalaman konkrit serta pengetahuan sedia ada mereka. Oleh kerana pendedahan kepada konsep saintifik secara formal tidak diperolehi, masyarakat melayu banyak menggunakan pemikiran serta menaakul secara logik. Pengetahuan ini digunakan dan diuji secara ‘trial and error’ untuk memperoleh bahan paling baik bagi penghasilan produk
Seni kraf masyarakat Melayu juga boleh menceritakan proses pemikiran saintifik peringkat tinggi yang tersirat di dalam setiap gubahan mereka. Diantarannya ialah termasuk keupayaan membuat pemikiran kombinatorial menentukan kombinasi genap dan ganjil di dalan gubahan, keupayaan mengawal pembolehubah dan menjana hipotesis apabila menentukan jumlah penjalin untuk mendapatkan saiz serta bentuk yang diinginkan, menjalankan pemikiran berkadaran, kebarangkalian serta korelasi dalam aspek seperti membuat korelasi di antara saiz bahan dan saiz produk yang dihasilkan, berfikir secara berkadaran apabila menentukan pewarnaan pada bahan mentah dan proses pemikiran secara kebarangkalian terhadap corak yang akan dihasilkan (Marzita Puteh, Sadiah Baharom & Jamal Omar, 2007).
Kenyataan di atas sudah jelas menunjukkan seni kraf Melayu berunsur Islam dengan corak dan pengiraan geometriknya dan proses-proses saintifiknya menceritakan bagaimana masyarakat Melayu dahulu kala berfikir dan menaakul secara saintifik.

Makna dan Nilai
Barangan kraftangan merupakan barangan yang berpotensi untuk dipasarkan. Ianya adalah berbentuk tradisional dan bernilai kebudayaan, ianya dihasilkan dengan menggunakan alat-alat yang senang dan mudah diperolehi (Wan Ahmad Fuad Wan Abdul Aziz et. al.,1990). Kebanyakan cendiakawan barat menyamakan karya-karya tradisi kesenian Islam dengan kraf pertukangan. Namun begitu konsep pertukangan kraf dengan keindahan wujud di dalam karya kesenian Islam. Karya-karya kesenian Islam adalah berlandaskan tauhid dan keesaan Allah. Di dalam mengkaji keindahan kesenian Islam, teori yang di popularkan oleh Ismail al Faruqi dan Lamya al Faruqi sering digunakan. Diantaranya ialah dari segi nilai dan mesej sesebuah karya perlulah terlebih dahulu diberi penekanan estetika berasaskan nilai estetika tauhid. (Zainon Abdullah, 2005).
Hasil karya kraf yang dihasilkan di dalam kesenian Islam hendaklah diberi pengisian nilai-nilai tauhid dan moral berdasarkan Al Quran dan Sunnah. Dengan demikian hasil kraf kesenian Islam akan dikawal oleh peraturan Quran dan Sunah. Hasil kraf yang dipandu oleh Quran dan Sunnah tersebut merupakan nilai sejagat agama Islam yang bersifat universal dan sezaman. Hasil karya yang bersifat sezaman tersebut juga membawa ciri-ciri kesejagatan masyarakat Islam. Konteks kemasyarakatan tersebut di dalam kesenian Islam disebut sebagai ciri kolektif. Karya kraf yang bersifat kolektif tersebut disamping diterima oleh masyarakat Islam sejagat juga berperanan sebagai instrumen untuk menyatukan ummah. Konsep kesatuan tersebut adalah intipati sifat kolektif di dalam seni Islam ataupun konteks berjemaah di dalam agama Islam. Dengan demikian karya kraf yang dihasilkan oleh seniman Melayu-Islam mestilah mempunyai ciri-ciri kolektif. Ciri-ciri koletif tersebut berlawanan dengan sifat-sifat keindividuan apatah lagi kehebatan seniman. Nilai individu dan kehebatan seniman adalah sifat yang terenggang dan jauh dalam kontek tradisi kesenian Islam (Zainon Abdullah, 2005).


Ahad, 28 Disember 2014

KRAF TRADISONAL MELAYU: PENGGARAPAN IDEA, MENTAFSIR IDEA DAN PENGARUH DALAM MEMBERI MAKNA

Perbezaan dalam menggarap, mentafsir dan memberikan sesuatu kepuasan dalam pembuatan kesenian telah menambahkan keanekaragaman dalam hasil seni terutamanya seni kraf Melayu. Ciptaan-ciptaan baru dan unik telah lahir dari masa ke semasa hasil pengamatan dan penggarapan idea dan dari seorang pencipta kepada seorang pencipta yang lain. Ciptaan-ciptaan seni ini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka dan ia juga digunakan sebagai kehidupan harian (Khairuddin Talib, 2007).

(a)         Proses Garapan Idea
Menurut Al Faruqi dalam Zainon Abdullah (2005), ciri-ciri pernyataan estetika dalam proses penggarapan idea kesenian Islam, ada enam prinsip. Pertama ialah abstraksi atau kemujaradan, kedua struktur modular, ketiganya gabungan berurutan, keempatnya perulangan kelimanya dinamisme dan akhirnya interaksi atau kerumitan. Maksud setiap perinsip tersebut seperti berikut.
Abstraksi atau kemujaradan. Di dalam karya seni Islam salah satu sifat pentingnya ialah infiniti. Corak infiniti dalam kesenian Islam adalah bersifat mujarad dan abstrak. Sekiranya jasad dari alam atau pun subjek rujukan digunakan, subjek tersebut perlulah dinutralisasikan dan digayakan sehingga menghilangkan jasad atau subjek rujukan yang bersifat alamiah tersebut. Sebagai contoh sumber motif seperti daun sirih digarap oleh tukang kraf untuk dijadikan motif daun sirih. Motif daun sirih menjadi lambang kepada daun sirih yang asal.
Struktur modular. Karya-karya kesenian Islam terdiri daripada banyak modul kecil tersusun dan digabungkan menjadi satu susunan yang lebih besar. Setiap modul ini adalah suatu entiti yang membawa satu ukuran kemuncak dan kesempurnaan yang membolehkannya ditanggapi sebagai unit ekpressif dan memuaskan dengan sendirinya. Ciri-ciri ini jelas kelihatan pada raka corak dan susunan motif seni Batik dan songket Melayu. Contoh motif tersebut adalah motif awan larat.
Gabungan berturutan. Modul-modul asas diulang-ulang seterusnya membentuk suatu gabungan besar. Gabungan berturutan yang lebih besar dalam karya-karya kesenian Islam tidak sekali-kali menghancurkan identiti dan ciri unit yang lebih kecil yang telah membentuknya. Ulangan gabungan-gabungan besar dipelbagaikan dan disambung dengan entiti lain yang lebih kecil serta dengan entiti yang lebih besar untuk membentuk gabungan lain yang kompleks. Dengan kaedah ini menghasilkan banyak titik lenyap atau pusat tumpuan estetika. Oleh yang demikian titik fokus tunggal tidak wujud bersama satu kemuncak atau titik kesimpulan. Titik lenyap yang banyak ini menjadikan karya seni Islam tidak menumpukan kepada permulaan atau pengakhiran, dan sentiasa bersifat infiniti.
Perulangan. Kesenian Islam menggunakan perulangan yang sangant banyak. Perulangan motif, modul struktural, dan juga menggunakan kombinasi berturutan yang kelihatan berterusan serta berkesinambungan. Kemujaradan dipertingkat serta diperkukuh dengan mengawal pengasingan unit-unit bahagian, yang menghalang sebarang modul dalam rekabentuk itu daripada dipentingkan atau dibandingkan dengan yang lain. Ciri-ciri pengulangan motif ini sering kali kata dapat amati pada hasil karya kraf Melayu terutamanya pada batik cap dan sulaman songket Melayu.
Dinamisme. Rekabentuk kesenian Islam mestilah dinamik dan bersifat melangkaui lingkungan masa atau ruang. Senibina tugu dan seni tampak banyak menggunakan ruang. Seni-seni itu memenuhi ruang fizikal dan menggunakan unsur-unsur ruang seperti titik, garisan, bentuk dan isipadu. Selain daripada ciri-ciri luaran dalam aspek ruang, ciri-ciri yang dianggap perlu secara universalnya adalah yang mungkin mempunyai orientasi temporal yang agak kuat. Corak infiniti tersebut mestilah berupaya menarik penglihatan dan pemikiran melalui rangkaian pandangan serta wawasan yang mesti difahami secara berangkai-rangkai. Ciri-ciri dinamisme ini banyak dipraktikkan dalam seni ukiran kayu di Malaysia.
Intrikasi atau kerumitan. Ciri intrikasi atau kerumitan ini menambahkan kebolehan sebarang corak atau arabes untuk menarik perhatian serta tumpuan penonton kepada entiti strurtural yang digambarkan. Satu garis lurus atau lembaga, walaubagaimana indah sekalipun dibuat, tidak akan menjadi satu-satunya bahan ikonogerafik bagi sesuatu corak Islam. Perkembangan dinamisme dan momentum corak saujana dapat dilakukan dengan pergandaan unsur-unsur dalaman dengan penambahan kerumitan terhadap perlaksanaan dan penambahan gabungan.

(b)         Proses Mentafsir Idea
Manusia mempunyai emosi dan perasaan mahu meluahkan perasaan mereka. Manusia ingin berkongsi perasaan dan emosinya dengan orang lain. Justeru terdapat pelbagai cara perlakuan manusia bagi menterjemahkan perasaan dan emosinya itu. Wolff, Charlotte dalam bukunya “Psychology of Gesture” (1972) telah mengkaji perlakuan manusia dan menyatakan manusia mengeluarkan pernyataan perasaannya di bawah sedar dan tanpa kawalan diri. Ini menunjukkan manusia dalam kehidupannya mampu mencipta, menampung dan menggunakan simbol sebagai medium untuk berkomunikasi dan manusia hidup dalam belantara simbol. Kemampuan manusia boleh diperolehinya melalui pendidikan, kerana pendidikan merupaakan satu proses budaya. Ini adalah kerana budaya tercipta melalui seni warisan bangsanya. Simbol yang dicipta merupakan hasil daripada imaginasi dan idea yang digarap oleh seniman. Oleh itu symbol tersebut harus ditafsirkan dalam bentuk nyata untuk diamati dan digunakan untuk tujuan tertentu.
Mempelajari cara seniman mentafsir idea untuk membentuk seni dengan memperolehi pelbagai kesan melalui penggunaan asas senireka dan bahasa seni visual. Seniman mentafsir idea dan terusnya merealisasikan idea tersebut bagi mendapat kepuasan diri dan faedah kepada diri dan mayarakat sekitar. Contohnya penghasilan seni  atau barang-barang kraf dapat memberi kepuasan kepada pencipta dan memberi manfaat kepada masyarakat sama ada dengan cara mengamati atau menggunakannya dalam kehidupan seharian. Barang-barang kraf ini dihasilkan adalah mengikut kaedah reka bentuk dan hiasan tertentu. Motif-motif ataupun reka corak yang terdapat pada kraf tersebut adalah merupakan hasil ciptaan tersendiri kerana telah diubahsuai oleh tukang pandai dengan menggunakan daya kreativiti untuk memenuhi kehendak cita rasa tempatan (Khairuddin Talib, 2007).
Corak dan rekaan merupakan satu bidang penting dalam menghasilkan sesuatu karya seni. Pada dasarnya, tanpa corak dan rekaan, hasil seni baik yang tradisional mahupun yang mengikut zaman akan tidak terhasil. Kegiatan ini memberi peluang kepada kita untuk memahami pelbagai cara dalam menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain. Corak dan rekaan dapat dipadankan kepada mana-mana hasil daripada bidang kegiatan lain seperti binaan, kraf dan sebagainya (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2002). Dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2008), corak membawa maksud ragi atau bunga-bungaan pada kain (barang anyaman, tenunan dll) manakala rekaan membawa maksud buatan dan ciptaan. Dari sudut Pendidikan Seni pula, corak merupakan susunan motif sama ada secara teratur, terancang atau secara bebas (Mohd Zaihidee Hj Arshad, 2007). Motif pula membawa maksud sesuatu yang dijadikan dasar atau corak pada lukisan (ukiran dll) (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008), manakala menurut Mohd Zaihidee Hj Arshad (2007) motif ialah sama ada rupa atau bentuk asas dalam satu-satu rekaan atau gubahan. Segala corak rekaan dan motif ini terhasil daripada proses pentafsiran idea. Melalui proses ini idea atau imaginasi pereka akan dapat direalisasikan untuk menjadi produk atau hasil karya kraf.

(c)          Pengaruh Dalam Memberi Makna
Tidak dinafikan jika manusia dikatakan sebagai makhluk budaya. Manusia hidup dalam aura budaya yang penuh dengan simbol-simbol, yang menyiratkan makna, yang difahami dan dihayati bersama dalam kelompok masyarakatnya. Geertz, Clifford (1995) seorang ahli antropologi menyatakan bahawa “Manusia hidup dalam jalinan makna-makna yang ditenunnya sendiri”. Oleh itu, dalam hidup masyarakat majmuk contohnya di Malaysia, sudah pasti pengaruh budaya boleh menyerap antara satu sama lain yang mempunyai budaya yang berbeza. Begitu juga dengan pengaruh agama dan kepercayaan. Ia dapat mempengaruhi norma, cara hidup dan sosial masyarakat termasuklah kesenian seperti kraf tangan.
Seni kraf Melayu ini adalah melambangkan hubungan yang erat antara orang Melayu dengan Agama Islam. Setiap hasil kraf tradisional Melayu mempunyai pengaruh dan keunikan dalam memberi makna yang tersendiri. Penghasilan kraf ini disesuaikan dengan alatan dan bahan yang tertentu. Ini melibatkan budaya penghasilannya seperti penggunaan buluh, kayu dan daun seperti nipah, pandan, terap, palas dan mempelas. Ini sememangnya memperlihatkan kecekapan tukang mahir memanipulasi bahan di persekitarannya. Begitu juga dengan penciptaan ragam hias dan ragam bentuk hasil kraf yang mempunyai pengaruh dan maksud yang tertentu. Karya seni dalam kebudayaan Melayu mempunyai sifat yang unik dan tersendiri, bukan sahaja berbeza dengan karya seni kebudayaan-kebudayaan besar di dunia malahan juga berbeza dengan karya seni daripada kebudayaan kelompok yang berhampiran dengannya (Khairuddin Talib, 2007).


CIRI-CIRI SENI ISLAM DAN PENGARUH BUDAYA DALAM HASIL KESENIAN MELAYU


Hasil ciptaan seni kraf Melayu jelas menunjukkan pengaruh Islam di dalam penghasilannya. Ini terbukti dengan penggunaan motif dan ragam hias dalam penghasilan sesuatu kraf. Penggunaan motif-motif dan ragam hias dalam hasil karya ini jelas menunjukkan ciri-ciri keislaman. Rupa figura manusia atau binatang yang sebenar tidak digambarkan dalam ragam hias kraf tradisional Melayu. Hal ini berlaku kerana berdasarkan ajaran agama Islam menggambarkan bentuk figura manusia atau binatang yang sebenar adalah haram hukumnya. Namun begitu, masih kedapatan tukang Melayu menggunakan motif fauna sebagai subjek untuk mendapatkan sumber ilham dalam penghasilan karya mereka tetapi dengan menggunakan daya kreativiti, mereka telah membuat beberapa perubahan, mengubah bentuk tersebut dengan secara stailisasikan hingga bentuk asal fauna itu tidak kelihatan dengan jelas. Tiada gambaran tentang rupa binatang dan manusia sebenar dalam ragam hias dan ini membuktikan bahawa Seni kraf Melayu adalah melambangkan seni Islam (Khairuddin Talib, 2007).
Seni kraf telah menjadi tunjang kepada kebudayaan masyarakat Melayu sejak turun temurun lagi. Dengan adanya kesenian seperti ini identiti masyarakat Melayu lebih terserlah dan dikenali ramai (Siti Zainon Ismail (1986). Kesenian dan keaslian ragam hias yang terdapat dalam kraf tradisional tetap kekal dan tidak berubah dari dahulu hingga kini. Hasil ciptaan kraf tradisional kaya dengan unsur-unsur budaya dan ini jelas tercermin melalui bentuk, gaya, sifat, garis, gerak, dan warnanya (Khairuddin Talib, 2007).
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa kraf tradisional Melayu di Malaysia dipengaruhi oleh budaya luar namun ia adalah serumpun. Contohnya batik Kelantan dan Terengganu yang banyak dipengaruhi corak-corak batik dari batik Jawa sehingga suatu ketika dinamakan kain batik Lasem Kelantan, kain batik Solo Kelantan dan kain batik Pekalongan Kelantan. Namun begitu, kini batik Malaysia telah berkembang pesat dan dapat menghasilkan identiti tersendiri daripada pelbagai pengalaman dan eksperimentasi. Norwani Mohd. Nawawi. (2002)
Pengaruh budaya terhadap seni kraf di Malaysia kebanyakkan datangnya dari kepulauan Melayu dan nusantara sahaja. Ianya tidak melibatkan pengaruh dari barat atau luar nusantara walaupun negara ini telah dijajah oleh negara luar seperti Portugis, Belanda, Inggeris dan termasuk negara timur lain yakni Jepun. Ini sangat berbeza dengan apa yang berlaku di negara lain yang pernah dijajah. Penjajah telah menyebar pengaruh budaya serta membudayakan masyarakat tempatan dengan budaya mereka termasuk penggunaan ragam hias penjajah dalam seni kraf tempatan. Ini jelas dapat dilihat pada ragam hias yang terdapat dalam seni kraf Filipina yang menampakkan pengaruh Sepanyol. Oleh itu, orang Melayu harus bersyukur kerana penjajah tidak menyebar pengaruh budaya mereka dalam budaya dan seni kraf tempatan. (Khairuddin Talib, 2007).
Kraf yang dihasilkan oleh masyarakat peribumi merupakan warisan yang memperlihatkan susur galur daripada zaman batu lagi yang mengingatkan kita tentang jati diri rakyat Malaysia umumnya. Kraf tangan masyarakat peribumi dihasilkan berdasarkan alam persekitaran yang berkait dengan alam Melayu. Sumber yang digunakan untuk menghasilkannya juga adalah yang mudah didapati di sekeliling mereka. Namun Masyarakat pribumi umnya dan Melayu khususnya menggunakan pemikiran kreatif mereka dalam mengolah dan mengubah barangan dan objek yang menampilkan aspek budaya, estetik dan fungsi (Khairuddin Talib, 2007).

Aspek Estetik
Menurut Herbert Read dalam buku, “The Meaning of Arts” (1968) seni merupakan penghasilan rupa bentuk yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik “Art is Expression”. Kesenangan estetik dimaksudkan adalah merujuk kepada konsep kesenangan yang terhasil kesan oleh penghayatan terhadap keindahan seni visual. Kepuasan, kenikmatan, kesukaan dan kegembiraan juga termasuk di dalam kesenangan tersebut. 
Apabila menjelaskan makna estetik maka ia banyak dibincangkan berkaitan dengan deria pengamatan terhadap sesuatu perkara atau suasana yang menekankan aspek kesenian atau keindahan, bukan menekankan aspek fungsional serta kecanggihan objek tersebut (Marzita Puteh, Sadiah Baharom & Jamal Omar, 2007). Dalam memperkatakan nilai estetik bangsa Melayu, renungi ke dalam diri dan fahami etimologi perkataan estetik ini membawa kepada ‘estetics’ iaitu bidang falsafah yang mengkaji atau menyelidik tentang keindahan. Estetik dikaitkan dengan istilah nilai-nilai keindahan, termasuk di dalamnya makna, antara lain elok, molek, cantik, anggun, bagus, lembut, utuh, seimbang, padu, bening, tenang, hampa, suram, dinamik, kukuh, hidup, gerak, hambar, sentimental dan tragik (Dolmer, P., 1997). 
Pandangan dari sudut agama, Imam Muslim melalui penulisan kitabnya, Kitab Al-Iman, menjelaskan tentang kesenangan estetik dan konsep keindahan sebagai pertemuan antara seseorang yang mempunyai pengetahuan terhadap mesej atau objek yang ditemui. Dalam erti kata lain, Muslim menjelaskan seni itu sebagai suatu bentuk ilmu pengetahuan di mana seseorang yang mempunyai ilmu ataupun pengetahuan seni tersebut akan mencipta serta melahirkan manifestasi pemikiran dan perasaannya terhadap sesuatu objek yang dihayatinya melalui karya-karya seni, ataupun setidak-tidaknya akan menghargai keindahan objek serta karya tersebut, sekiranya tidak mampu menghasilkan karya seni. Ini adalah kerana seni itu sendiri mempunyai pertalian erat di antara penggiat dan khalayak seni itu sendiri (Zulkifli Yaakob & Mohd. Jamel Ismail, 2007).
Kraf tradisional seperti ukiran, batik, tenunan, anyaman, tekatan, wau, gasing, tembikar dan barang perhiasan sememangnya mempunyai nilai estetik yang tinggi dan keistimewaannya setaraf dengan seni budaya tamadun luar (Khairuddin Talib, 2007). Ia juga mempunyai nilai estetika yang tinggi, contohnya ukiran kayu. Ukiran digunakan pada rumah-rumah Melayu untuk menambahkan nilai estetik dengan corak yang terkawal. Ia mestilah tidak mengatasi imej bagunan supaya reka bentuk bangunan dapat dilihat dengan jelas. Ukiran-ukiran itu berperanan sebagai penyokong rupa atau sendi kepada bentuk bangunan (Syed Ahmad Jamal, 1992). 
Elemen dan bentuk estetika seni Islam merupakan tanda-tanda tampak yang harus dihasilkan melalui asas nilai tauhid. Ini disebabkan kesenian Islam sangat menekankan tanda-tanda tampak yang boleh membawa pemerhati supaya mengingati Tuhan. Tanda-tanda tampak yang boleh melalaikan manusia dari mengingati Tuhan tidak dibenarkan. Apatah lagi tanda-tanda tampak tersebut bersifat mengingkari atau bertentangan dengan perintah Tuhan (Zainon Abdullah, 2005). Oleh itu ciri-ciri tersebut dapat dilihat pada seni kraf Melayu kerana masyarakat Melayu telah menerima dan menganuti agama Islam berabad lamanya.
Bentuk estetika seni Islam terbahagi kepada enam bentuk, menurut Al Faruqi (1986) dalam Zainon Abdullah (2005). Iaitu bentuk abstraksi, bentuk strurtur modular, bentuk gabungan berurutan, bentuk perulangan, bentuk dinamisma dan bentuk kerumitan. Namun begitu keenam-enam bentuk tersebut dipandu oleh asas estetika Tauhid, yang menjadi strutrtur asas karya seni Islam. Menurut Zakaria Ali (1989), terdapat enam prinsip estetika Melayu, iaitu prinsip halus, prinsip berguna, prinsip bersatu, prinsip berlawan, prinsip berlambang dan prinsip bermakna.

Aspek Fungsi
Seni kraftangan adalah hasil seni yang dicipta untuk digunakan, tetapi digubah dengan memasukkan unsur-unsur seni untuk memberi bentuk yang indah dan menarik hati (Siti Zainon Ismail, 1997). Setiap hasil kraf berfungsi dalam kehidupan harian yang dipengaruhi oleh lokasi, iklim, pekerjaan, kepercayaan, bahan keperluan, kemudahan serta hubung kait dengan masyarakat. Contohnya kris dan lembing digunakan sebagai senjata untuk mempertahankan diri. Parang, sabit dan cangkul digunakan sebagai alat pertanian manakala bubu digunakan sebagai alat untuk menangkap ikan. Alat untuk kegunaan harian seperti tikar, tudung saji dan pakaian. Bekas pembakar kemenyan dan gong digunakan sebagai alat dalam upacara adat istiadat. Wau, gasing dan congkak dijadikan hobi dan sebagai aktiviti rekreasi. Alat muzik seperti serunai, rebab, nafiri dan kompang. Digunakan dalam persembahan nyanyian, tarian dan pertunjukan kebudayaan. Ukiran kayu digunakan sebagai bahan estetika pada rumah kediaman, istana dan masjid. Perahu dan kolek berfungsi sebagai pengangkutan air. Baju kebaya labuh, tengkolok, selendang, dokoh, kalung dan cucuk sanggul dijadikan alat perhiasan dan pakaian (Khairuddin Talib, 2007). 
Kain atau tekstil batik dan songket digunakan dan mempunyai tujuan yang tersendiri. Pada zaman dahulu songket hanya dipakai oleh golongan raja dan bangsawan sebagai tanjak, samping, kain selendang dan persalinan diraja bagi menaikkan status mereka. Songket melambangkan kehormatan dalam sesebuah masyarakat melayu (Haziyah Hussin, 2006). Batik pula berfingsi sebagai cenderamata dan digemari sejak kesultanan Melaka lagi, dimana Hang Nadim diperintahkan oleh Sultan Mahmud bagi membeli kain Serasah atau Batik dengan empat puluh bunga pada setiap satunya (A. Samad Ahmad, 1986).
Kini, songket mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk menghadiri majlis-majlis tertentu, pakaian pengantin, persembahan kebudayaan dan pertunjukan fesyen (Haziyah Hussin, 2006). Mengikut kajian, kebanyakan pengguna yang memakai songket antara 20 hingga 50 tahun (Norwani Mohd. Nawawi, 2002). Batik pula digunakan untuk membuat tudung, baju, kain sarung atau batik lepas dan digunakan dalam majlis-majlis formal dan majlis keramaian. Ia menjadi pakaian rasmi kepada kakitangan kerajaan setiap hari khamis bekerja dan turut menjadi pakaian seragam pramugari kapal terbang MAS (Perpustakaan Negara Malaysia, 2000). Kombinasi nilai tradisional dan kontemporari dalam pengeluaran batik dan songket dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa. Keanggunannya diilhamkan pada pelbagai barangan dalam bentuk hantaran perkahwinan, barangan kraftangan, perhiasan dalaman, kelengkapan rumah, cenderamata dan aksesori (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 2009).

Aspek Makna
Seni Melayu ini merupakan penjelmaan unsur-unsur dari alam semula jadi kepada satu bentuk seni rupa. Karya ini terhasil daripada pengamatan dan pemikiran penciptaannya yang dijelmakan melalui impian dan imaginasi, seterusnya mencerminkan suasana harmoni di antara manusia dan alam ciptaan tuhan (Khairuddin Talib, 2007). Unsur-unsur alam ini mengandungi simbol pengertian dan makna yang tertentu dalam pandangan hidup masyarakat Melayu (Ismail Said & Ahmad Saifuddin Abdullah, 2001).
Penciptaan keris mempunyai fungsinya yang tertentu. Keris adalah sejenis senjata tikam yang digunakan secara meluas di keperluan Melayu pada satu ketika dahulu. Keris merupakan lambang kepahlawanan orang Melayu. Keunikan rupa bentuk dan hiasannya mempunyai makna yang tersendiri serta dipercayai mempunyai kesaktian yang luar biasa, keris dianggap sebagai sejenis senjata penting dan masyarakat dan kebudayaan tradisional Melayu (Khairuddin Talib, 2007). 
Seni ukir adalah antara kraf Melayu yang mempunyi nilai yang tinggi dan memberi makna yang tertentu kepada pengukir dan pencinta seni yang mengamtinya. Terdapat beberapa peraturan dan peradaban bagi menghasilkan ukiran yang tinggi nilai seninya. Pertama, seseorang pengukir harus yakin dan percaya kepada ilmu tauhid dan diikuti dengan keyakinan diri, keikhlasan dan kejujuran. Selain itu, mereka juga perlu memahami sifat bahan ukuran dan proses atau kaedah mengukir. Diamping itu, tukang ukir juga akan menyatakan perasaan peribadinya melaui ukiran yang diukirnya. Dengan cara ini pengukir boleh memperihalkan ciri-ciri dan sikap mereka itu terhadap hasil ukirannya (Nik Rashiddin (2000) dalam Ismail Said, 2005). 
Pereka kraf Melayu menganggap alam ini sebagai suatu hiasan yang berfungsi untuk menyerikan kehidupan sementara di dunia dan kehidupan kekal di akhirat. Dari kesedaran inilah lahirnya ciptaan yang bermakna dan bukan sahaja sebagai fungsi tetapi memenuhi keperluan kehidupan dunia yang amat rapat kaitannya dengan akhirat (Khairuddin Talib, 2007).

Sabtu, 27 Disember 2014

PROSES PENGGARAPAN MOTIF KRAF TRADISIONAL BERASASKAN KEPADA SUBJEK ALAM

Sejak dari dahulu lagi, motif sesuatu corak terhasil melalui proses penggarapan adalah daripada pengamatan pereka-perekanya. Seni kraf Melayu misalnya mendapatkan sumber motif dari alam flora seperti bunga, pucuk, daun, ranting dan sebagainya. Ini semua adalah berasaskan pengamatan orang dulu-dulu dalam menghasilkan sesuatu corak dan rekaan. Kebiasaannya sumber sesuatu motif diilhamkan daripada alam semulajadi (bunga, siput, kayu, serangga dan haiwan), bahan buatan manusia (kerusi, meja, rumah dan gunting), geometri (bulat, segi tiga dan segi empat) dan rupa barangan kraf tradisional (wau, gasing dan keris) (Zulkifli Yaakob & Mohd. Jamel Ismail, 2007). 
Selepas kedatangan Islam, tukang kraf Melayu mula berusaha mengubah konsep seni kraf melalui proses penggarapan motif mereka lebih kepada ciri-ciri keislaman dan bertepatan dengan kehendak agama. Walaupun tanpa motif dan bentuk-bentuk dewa, seni kraf tetap subur dengan motif flora, kosmos dan tulisan khat yang membanyangkan kepercayaan terhadap agama Islam itu sendiri (Ismail Said & Ahmad Saifuddin Abdullah, 2001).
Ciri-ciri seni Islam yang lain itu jelas diperlihatkan dalam ragam hias seperti penggunaan unsur geometri, motif yang berulang dan arabes. Subjek daripada flora paling banyak diilhamkan sebagai motif dalam ragam hias kraf Melayu seperti rupa bunga, daun dan sebagainya, di samping penggunaan rupa geometri dan ayat-ayat daripada al-Quran (Khairuddin Talib, 2007). 
Contoh jenis-jenis motif yang digarap boleh didapati daripada rupa bentuk daripada alam ciptaan ilahi seperti flora (Buah Mangga, Daun Siti Fatimah, Bunga Teratai dan Bunga Mawar), rupa bentuk geometri (Segiempat, Bulat, Bujur, Segitiga dan geometri lain) dan rupabentuk arabes (seni khat) (Mohd Zaihidee  Arshad, 2007). 



KRAF TRADISIONAL

Dalam masyarakat Melayu, seni terbahagi kepada dua jenis iaitu seni persembahan dan seni tampak. Seni persembahan terdiri daripada tarian, nyanyian, persembahan pentas seperti makyong, wayang kulit, ghazal, hadrah dan kuda kepang. Manakala seni tampak terdiri daripada seni bina, seni hias, pertukangan tangan dan seni kraf. Dalam blog ini akan membincangkan tentang seni kraf Melayu yang melambangkan hubungan erat antara orang Melayu dengan kepercayaannya iaitu Islam.
Seni kraf adalah pusaka peniggalan nenek moyang kita satu masa dahulu kala dan telah diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi hingga kini yang merupakan warisan bangsa dan negara (Khairuddin Talib, 2007). Dalam bahasa Latin kraf dikenali sebagai ‘ars’ atau ‘art’ dan juga sama pengertiannya dengan ‘artifact’. Ia juga dimaksudkan sebagai hasil seni yang berfungsi untuk penggunaan. Kraf dicipta berdasarkan khayalan seni dan disertai dengan rasa senang (Wan Ahmad Fuad Wan Abdul Aziz et. al.,1990).
Menurut Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (2010) berdasarkan sumber Akta 222 – Akta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (1979), kraf adalah suatu barangan atau apa-apa artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional yang dihasilkan dari kemahiran tangan secara intensif dengan atau tanpa menggunakan alat-alat yang mudah dan dioperasi secara langsung atau tidak langsung oleh pereka. Kamus Elektronik Besta MD800 (2008), pula mendefinisikan bahawa kraftangan merupakan perkerjaan yang memerlukan kemahiran tangan dan rekabentuk ‘artistik’, contohnya ukiran kayu. Selain itu, ia juga merupakan kemahiran menggunakan tangan dan seni dengan meaggunakan tenaga atau kekuatan.
Menurut Malaysia Geographers (1978) dalam Wan Ahmad Fuad Wan Abdul Aziz et. al. (1990) berpendapat bahawa kraftangan mempunyai tiga ciri utama iaitu hasil keluaran yang diawasi oleh sosial, kepercayaan dan agama, keperluan kekuatan tradisi terhadap teknik yang diwarisi oleh generasi yang lepas dan penggunaan tangan yang begitu meluas walaupun alat-alat jentera dan mesin digunakan dalam pengeluaran. Manakala Majlis Amanah Rakyat (1973) juga dalam Wan Ahmad Fuad Wan Abdul Aziz et. al. (1990) pula menyatakan bahawa kraftangan termasuk semua barangan seni yang memiliki unsur tradisional yang diwujudkan melalui proses pembentukan dengan menggunakan kemahiran tangan mahupun peaggunaan mesin atau lain-lain alat.
Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Melayu menganut fahaman animisme dan Hindu. Mengikut cacatan Marco Polo, agama Islam telah tersebar di Tanah Melayu sebelum abad ke-15. Agama Islam telah disebarkan oleh para pedagang dan pendakwah dari Asia Barat ke Negara China sehingga pada abad ke-13 Masihi, Islam semakin berkembang pesat berikutan dengan kemunculan beberapa buah kerajaan Islam di Pasai dan Perlak di persekitaran Selat Melaka (Ruslan Zainuddin, 2004).
Sebahagian besar orang Melayu telah memeluk agama Islam, sementara yang lain terus menganut tradisi lama. Sejak itu, kepercayaan orang Melayu telah berubah. Mereka telah meninggalkan pemujaan terhadap patung-patung dan tuhan-tuhan yang banyak. Mereka telah mengetahui dan menyedari tentang keesaan tuhan yang sebenar (Khairuddin Talib, 2007). Keadaan ini telah mengubah kehidupan harian masyarakat Melayu di Tanah Melayu dan adat istiadat tertentu yang didapati bertentangan dengan akidah ditinggalkan secara beransur-ansur (Ruslan Zainuddin, 2004).
Perubahan ini telah memberi kesan terhadap bidang undang-undang, sosio-budaya dan politik. Orang Melayu telah menghayati nilai-nilai akhlak Islam dalam kehidupan yang terangkum dalam adab-adab kehidupan mereka seperti adab berpakaian, adab berbahasa, adab berjiran dan sebagainya. Dalam bidang seni juga tidak ketinggalan dimana kebanyakan hasil seni yang dihasilkan termasuk seni kraf yang dihasilkan oleh orang Melayu adalah bercorak keislaman.

KRAF MELAYU

Sejak dahulu lagi, kebanyakan hasil kraf dihasilkan melalui kemahiran yang diperturunkan dari nenek moyang atau adat resam sesuatu kaum atau puak. Kegiatan pengeluaran produk ini berkait rapat dengan kegiatan yang berkaitan dengan tradisi seseuatu kaum atau puak dan kepercayaan agama terutamanya agama Islam (Wan Ahmad Fuad Wan Abdul Aziz et. al., (1990). Antara jenis-jenis hasil kraftangan yang dibincangkan dalam blog ini ialah anyaman, ukiran kayu, tenunan songket dan batik.

Anyaman
Seni anyaman merupakan sejenis kraf yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat Melayu dan rumpun nusantara. Menganyam merupakan proses menjalin jaluran daun, rotan, lidi, buluh, akar dan beberapa jenis tumbuhan yang lain. Daripada tikar hingga kepada dinding pelindung kediaman, hasil anyaman membentuk persekitaran hidup yang boleh dilihat di mana-mana. Ini tidak menghairankan kerana tumbuh-tumbuhan tropika merupakan sejenis bahan yang amat sesuai dijadikan produk anyaman. Beberapa jenis reka bentuk kraftangan dihasilkan melalui nyaman bagi menghasilkan produk keperluan harian seperti topi, beg, tudung saji, bakul, perabot dan tikar (Siti Zainon Ismail (1986) yang kebanyakannya adalah untuk kegunaan sendiri atau dijual secara kecil-kecilan di pasar terbuka (Marzita Puteh, Sadiah Baharom & Jamal Omar, 2007).
Sebagai contoh anyaman tikar, bahan yang digunakan ialah daun pandan dan mengkuang. Kebanyakan ragam hias yang terdapat pada tikar adalah berbentuk geometri. Ragam hias ini disesuaikan oleh penganyam ada kaitnya dengan bahan yang digunakan iaitu daun pandan atau mengkuang. Daun pandan atau mengkuang yang telah dipotong halus untuk dijadikan jalur-jalur garisan yang kemudiannya dianyam bagi mewujudkan ragam hias pada tikar tersebut. Penggunaan jalur-jalur atau garisan yang panjang ini adalah merupakan ciri atau identiti dan merupakan teknik dalam penghasilan tikar (Khairuddin Talib, 2007).

Ukiran Kayu
Ukiran kayu adalah salah satu hasil seni rupa tradisi Melayu yang terulung. Seni ukir ini telah lama bertapak dalam seni warisan Melayu dan merupakan satu peradaban yang paling tinggi nilainya kerana merupakan salah satu seni yang belum dipengaruhi oleh sebarang unsur-unsur lain dan sebati dengan masyarakat Melayu terutamanya di Semenanjung Malaysia. Ia merupakan satu seni menyobek permukaan papan atau bongkah kayu bagi mencorakkan sesuatu motif (Ismail Said & Ahmad Saifuddin Abdullah, 2001).
Terdapat lima jenis motif yang biasanya diterap pada kayu iaitu flora, fauna, khat, geometri dan kosmos. Proses penyobekan merupakan satu manifestasi ilham tukang ukir kepada satu jisim yang nyata. Menifestasi ini terbentuk secara tebuk tembus atau tebuk timbul. Bentuk yang diukir kebiasaannya tidak menyerupai objek flora secara langsung tetapi diolah dalam bentuk simbolik supaya menyerupai objek tersebut. Pengolahan secara simbolik ini adalah satu seni pertukangan yang wujud sebelum abad ke-16 lagi (Ismail Said & Ahmad Saifuddin Abdullah, 2001).
Ukiran kayu adalah berkonsepkan keseimbangan alam dari segi pemilihan motif, komposisi dan bentuk ukuran. Secara langsung seni ini memberi pengajaran kepada masyarakat agar menghormati sesama manusia, alam, dan tidak sombong sebagaimana gubahan gaya daun yang sentiasa menunduk ke bumi. Pengolahan dan pengertiannya berhubung rapat dengan falsafah ketuhanan (Islam) dan alam semesta beradun mesra dalam kesatuan yang penuh harmoni (Ismail Said & Ahmad Saifuddin Abdullah, 2001).

Tenunan Songket
Songket adalah hasil daripada tenunan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama-sama dengan benang emas atau perak (Haziyah Hussin, 2006). Nama “kain songket” berasal daripada teknik membuat songket, iaitu menyongket atau menyolek bunga (emas) pada tenunan sutera.  Pada amnya songket terbahagi kepada dua jenis, iaitu tekat tiga dan tekat lima (Siti Zainon Ismail, 2006).
Perkembangan tenunan songket bermula di perkampungan Gerung, Tumpat. Penempatan pembuatan songket amat popular dikawasan kampung terutamanya di negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang. Kelantan merupakan salah sebuah negeri di Malaysia yang mempunyai sejarah penenunan yang awal iaitu pada 1610 sebelum masihi. Penenunan songket telah dijalankan semasa pemerintahan Long Pandak (1974-1800) sehingga zaman pemerintahan Sultan Mansur (1890-1910). Terengganu juga terkenal dengan sejarah penenunan songket yang dipercayai bermula awal abad ke 18 (Siti Zainon Ismail, 2006).
Pada zaman dahulu, songket merupakan lambang kemegahan, kemewahan dan ketertinggian terutamanya golongan raja atau pembesar. Kini, songket telah digunakan oleh masyarakat biasa tidak mengira pangkat atau keturunan. Selalunya pemakaian songket dimonopoli oleh golongan hawa kerana mereka terpukau dengan pembuatannya yang halus dan unik (Norwani Mohd Nawawi, 2002). Tradisi menenun masih dapat dikekalkan sebagaimana seratus tahun dahulu. Alat-alat tenun, motif dan ragam hiasnya memperlihatkan keindahan dan kesempurnaannya masih segar hingga ke hari ini (Haziyah Hussin, 2006).

Batik
Batik pula adalah pencorakan tekstil menggunaan lilin dan bahan pewarna dari alam semulajadi mahupun pewarna moden (Asharil Suhardi Abdullah, 2004). Perkataan "batik" terbit dari perkataan Jawa "ambatik". Perkataan akhir "tik" bermaksud menitik atau melukis titik-titik (Abdullah Mohamaed, 1990).
Kemunculan batik penuh rahsia dan masih dipertikaikan sehingga pernah para arkeologi membuat kenyataan bahawa ‘batik’ lahir di negara-negara Timur. Konsep asal penghasilan batik adalah dari tamadun Mesir purba, walaupun pada hakikatnya istilah ‘batik’ sebenarnya muncul dari negeri-negeri di kepulauan Melayu (D’zul Haimi Md.Zain, 1984). Batik di Malaysia mula di ketahui pada abad ke 18 apabila wujudnya Batik Minah Pelangi di Terangganu (Siti Zainon Ismail, 1986). Batik mula diperkenalkan di negeri Kelantan pada tahun 1910. Dalam tahun 1911, Haji Che Su bin Haji Ishak memulakan perusahaan Batik di Kelantan. Pada tahun 1922 beliau telah mengeluarkan batik menggunakan blok kayu. Pada tahun 1926 kemasukan pewarna kimia dari Eropah telah membawa perkembangan Batik (Perpustakaan Negara Malaysia, 2000).
Menurut Sullivan F., 1968 dalam Harozila Ramli. (2007) “…lukisan batik akan menjadi lambang kesenian negara bagi Malaysia, bahkan akan menjadi salah suatu kesenian yang cukup sempurna di dunia”. Ini menunjukkan batik Malaysia telah berkembang melampaui dunianya melalui proses pemodenan konsep, teknik dan falsafah (D’zul Haimi Md.Zain, 1984).