Cari Blog Ini

Sabtu, 3 Januari 2015

PENGHASILAN RESIS MUDAH MELALUI PENEROKAAN BERTEMAKAN ORGANIK DAN GEOMETRIK


Menggambar merupakan salah satu bidang dalam Seni Visual di peringkat Sekolah Rendah. Bidang menggambar menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri seseorang murid. Bidang menggambar meliputi penerokaan kesan seni serta mengenali pelbagai alat bahan dan kegunaannya. Kegiatan menggambar membolehkan murid mengenali dengan lebih dekat lagi pelbagai kemahiran asas dan teknik dalam proses rekaan. Kesedaran murid terhadap alam sekitar melalui pemerhatiannya menjadi fokus utama bidang menggambar ini. Selain dari itu bidang menggambar dapat memperkembangkan persepsi visual murid dan kesedaran terhadap asas seni reka seperti warna, garisan, susunan dan kesannya. Dengan ini murid akan dapat menyelaraskan pemerhatian mereka dan pengalaman mereka dalam aktiviti hasil kerja seni. Aspek apresiasi hasil kerja perlu diadakan sebagai satu proses pembelajaran murid. (Haslinda Madon, 2007).

1.1.1        Menggambar
Menurut Haslinda Madon (2007), menggambar boleh definisikan sebagai representasi visual sesuatu objek atau imej yang dihasilkan di atas permukaan rata. Ia mengandungi komposisi artistik yang dihasilkan melalui aplikasi warna di atas permukaan rata. Ia juga merupakan gambaran mental yang jelas dan pemberitahuan imej mental seseorang. Ilustrasi yang digunakan adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang sesuatu objek. Bidang ini merupakan satu bidang yang menegaskan perkembangan persepsi terhadap aspek melukis serta kegiatan menggunakan pelbagai media dan teknik dengan menekankan aspek ruang, struktur, imbangan dan komposisi. Bidang ini menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri murid. Representasi visual yang dihasilkan dalam bentuk dua dimensi. Gambar sebagai satu artifak yang menunjukkan satu kecenderungan terhadap sesuatu imej atau objek.

1.1.2        Resis
Salah satu aktiviti menggambar ialah resis. Resis ialah teknik menghasilkan lukisan atau reka corak dengan menggunakan bahan-bahan yang tidak bercampur antara satu sama lain seperti cat air dan cat minyak, cat air dan lilin dan sebagainya yang boleh dikatakan sebagai proses penolakan warna. Teknik ini dapat dilihat dengan jelad didalam proses penghasilan batik lukis dan batik canting. (Kementerian Pelajaran Malaysia, 1998). Resis mudah dalam kegiatan menggambar boleh dihasilkan menggunakan warna-warna basah dan contengan lilin atau krayon. Lilin atau krayon yang digunakan dalam aktiviti resis menjadi pelindung kepada warna asal atau terdahulu yang terdapat pada permukaan kertas. (Haslinda Madon, 2007).

1.1.3        Penerokaan

Menurut Abdul Shukor Hashim, et al., (2007). E. Paul Torrance telah mencipta dan membangunkan teori kreativiti yang membantu menjelaskan tujuh perkara utama di dalam proses penjanaan kreativiti seseorang individu. Satu daripada tujuh perkara tersebut adalah penerokaan. Penerokaan boleh diaplikasikan dalam aktiviti menggambar bagi proses memupuk dan mengembangkan kreativiti diri. Penerokaan membawa maksud menyelidik untuk megetahui sesuatu yang belum diketahui lagi iaitu melaksanakannya dengan cara mejelajah. Dalam erti kata yang lain, meneroka adalah bermaksud menggunakan pelbagai bahan dan kaedah. Pengalaman penerokaan merupakan sesuatu situasi pembelajaran. Penerokaan dapat dibuat melalui eksperimen, menyelidik dan mencipta menggunakan pelabagai idea dan bahan bagi meningkatkan kefahaman diri tentang aktiviti menggambar khususnya dan Pendididikan Seni Visual amnya.

Khamis, 1 Januari 2015

SUSUNAN CORAK KAIN BATIK

Terdapat pelbagai jenis batik iaitu Batik Blok atau Terap, Batik Canting dan Batik Skrin (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 2009). Batik mempunyai keistimewaannya yang tersendiri darisegi nilai budaya, motif, reka corak dan fungsi. Dalam hal ini Asharil Suhardi Abdullah menjelaskan dalam Majalah Dewan Budaya keluaran Julai 2004 bahawa:

“Istimewanya seni batik kerana batik merupakan salah satu seni tradisi budaya yang lahir dan berkembang di kepulauan Melayu serta berkaitan dengan pakaian para penduduknya. Motif yang sering menghiasi ruang badan sesebuah kain sarung sudah semestinya motif-motif etnik. Setiap daerah yang menghasilkan batik sabagai bahan keperluan harian pastinya mempunyai motif-motif etnik yang perlu diangkat dan dikembangkan agar ia kekal dan diketahui oleh setiap generasi baru. Batik tradisional ini mempunyai makna simbolik yang tinggi dan penggunaannya didasarkan pada status sosial pemakai dalam masyarakat daerah tertentu.” 

Motif Batik


Bentuk-bentuk motif batik dihasilkan dalam dua bentuk utama iaitu Motif Organik dan Motif Geometrik. Motif Organik berunsurkan alam semulajadi seperti awan larat, tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan, dan haiwan (Perpustakaan Negara Malaysia, 2000). Inspirasi Motif-motif dalam rekaan batik diinspirasikan daripada alam semula jadi yang berhubung kait dengan kehidupan seharian. Pereka-pereka batik menggubah bentuk-bentuk flora, fauna, abstrak dan geometri menjadi reka corak batik yang indah dan menarik (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 2009). Dengan penggunaan motif-motif etnik yang terdiri daripada imej-imej flora seperti motif pucuk rebung, bunga cempaka, bunga airmata kasih manakala motif fauna seperti motif kala jengking, motif rama-rama, motif burung merak dan juga motif ayam. Namun begitu, motif-motif fauna ini telah diubahsuai mengikut daya kreativiti masyarakat dahulu lakaran yang dihasilkan tidak menyerupai bentuk yang sebenar, kerana menghormati ajaran agama Islam (D’zul Haimi Md.Zain, 1984). Antara motif yang paling popular digunakan dalam penghasilan batik ialah motif pucuk rebung, bunga ketola, bunga cempaka, bunga kiambang dan motif-motif ringkas seperti titik, bentuk empat persegi dan bulat (Zailani Yaacob & Azimah A. Samah, 2004). 

Susunan Corak Batik
Susunan dan reka corak motif disesuaikan mengikut reka letak dan kedudukannya pada kain. Antara susunan reka corak motif yang digunakan ialah Corak Berdiri, Corak Jalur, Corak Catur, Corak Ulangan Bersilang, Corak Tapak Dam, Corak Kisi-kisi, Corak Melintang, Corak Menyeruluh, Corak Serong, Corak Ulangan Batu Bata dan Corak Tompok-tompok Bertabur (Zailani Yaacob & Azimah A. Samah, 2004).

 Bahagian Batik
Bahagian kain batik terdiri daripada Kepala Kain, Pengapit Kepala Kian, Badan Kain dan Kaki Kain. Bahagian badan kain selalunya dihiasi dengan motif penuh seperti bunga tunggal yang membantuk corak, pohonan bunga dan motif lain yang lebih bebas. Motif-motif ini sering disatukan bentuknya dengan bahagian lain badan kain dengan motif sepeti keluk berbunga, keluk berlingkar, lengkungan separuh bulat dan motif pinggir awan. Untuk bahagian kepala kain, pilihan utama ialah motif pucuk rebung (Zailani Yaacob & Azimah A. Samah, 2004). 


Isnin, 29 Disember 2014

SUSUNAN CORAK KAIN SONGKET

Tenunan Songket membawa kemegahan dan kecemerlangan kepada seni tenunan serta meletakkan seni ini ke martabat yang paling tinggi dengan ragam hias, motif dan teknik pembuatannya yang unik (Siti Zainon Ismail, 2006). Di zaman silam, motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan strata atau kedudukan seseorang (Haziyah Hussin, 2006). Kini, kain ini digunakan oleh golongan masyarakat biasa dan berkembang mengikut peredaran zaman dengan mengekalkan motif dan corak tradisi.

Motif Songket
Motif yang kerap digunakan untuk menenun songket diilhamkan daripada alam semulajadi. Antara motif-motif yang digunakan untuk menghasilkan songket adalah seperti Motif Tumbuh-tumbuhan (Pucuk Rebung, Tapak Manggis, Bunga Raya, Bunga Teratai dan Bunga Daun Sirih), Motif Binatang (Lawi Ayam), Motif Alam (Bunga Bintang), Motif Benda (Rumah dan Bangunan) dan Motif Kuih (Lopak Tikam) (Haziyah Hussin, 2006). Biasanya motif rekacorak yang menghiasi kain songket kebanyakannya berasaskan tumbuh-tumbuhan. Motif tumbuhan yang digunakan meliputi bentuk bunga, daun atau pucuk dan bahagian tampuk buah-buahan. Dengan teknik menenun yang tersendiri, kesemua bentuk motif terhasil dalam corak geometrik (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 2010).

 Susunan Corak Songket
Lazimnya motif-motif pada kain songket disusun dengan Susunan Bunga Penuh, Susunan Bunga Bertabur dan Susunan Bercorak (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 2010). Terdapat juga susunan corak lain pada songket iaitu Susunan Beragi atau Berkotak, Susunan Bunga Lap Berantai dan Susunan Bersulam (Haziyah Hussin, 2006). 

Susunan Bunga Penuh
Corak penuh bersulam juga dikenali songket cuban. Motif benang emas dan perak ditenun memenuhi keseluruhan kain (Haziyah Hussin, 2006)

Susunan Bunga Tabur
Corak ditenun secara bertaburan dan tidak terikat atau berangkai antara satu sama lain. Motif bunga yang ditenun ialah bunga tanjung, bunga buah cermai, bunga buah kesemak dan lain-lain. Taburan pada kain songket juga dilengkapi dengan garisan corak di kepala dan kaki kain (Haziyah Hussin, 2006)

Susunan Bercorak
Susunan motif dibuat secara jaluran berdiri, melintang atau penuh.  Susunan motif bagi mengghasilan corak biasanya banyak menggunakan benang bewarna bagi menggantikan benang emas dan perak. (Haziyah Hussin, 2006)

Bahagian Songket
Ragamhias masih dipertahankan terutama dalam aspek pembahagian dan penempatan beberapa bentuk bahagian kain seperti Badan kain, Kepala kain, Pengapit kain dan Tepi kain (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 2010). Bunga atau hiasan di kepala kain di tenun mengikut citarasa penenun. Corak atau ragam hias tersebut dikenali dengan nama-nama seperti tampuk manggis, pucuk rebung dan lawi ayam (Perpustakaan Negara Malaysia, 2000) manakala motif ‘awan larat’ pula dijadikan sebagai tepi kain (Haziyah Hussin, 2006). 

SONGKET & BATIK: TEORI MEMBUAT CORAK DAN REKAAN

Corak dan rekaan merupakan satu bidang penting dalam menghasilkan sesuatu karya seni. Pada dasarnya, tanpa corak dan rekaan, hasil seni baik yang tradisional mahupun yang mengikut zaman akan tidak terhasil. Kegiatan ini memberi peluang kepada kita untuk memahami pelbagai cara dalam menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain. Corak dan rekaan dapat dipadankan kepada mana-mana hasil daripada bidang kegiatan lain seperti binaan, kraf dan sebagainya (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2002). Dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2008), corak membawa maksud ragi atau bunga-bungaan pada kain (barang anyaman, tenunan dll) manakala rekaan membawa maksud buatan dan ciptaan. Dari sudut Pendidikan Seni pula, corak merupakan susunan motif sama ada secara teratur, terancang atau secara bebas (Mohd Zaihidee Hj Arshad, 2007). Motif pula membawa maksud sesuatu yang dijadikan dasar atau corak pada lukisan (ukiran dll) (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008), manakala menurut Mohd Zaihidee Hj Arshad (2007) motif ialah sama ada rupa atau bentuk asas dalam satu-satu rekaan atau gubahan.

Motif dan Sumber Motif
Kita tahu, sejak dari dahulu lagi, motif sesuatu corak terhasil adalah daripada pengamatan pereka-perekanya. Seni melayu misalnya mendapatkan sumber motif dari alam flora seperti bunga, pucuk, daun, ranting dan sebagainya. Ini semua adalah berdasarkan pengamatan orang dulu-dulu dalam menghasilkan sesuatu corak dan rekaan. Seringkali sumber sesuatu motif diilhamkan daripada alam semulajadi (bunga, siput, kayu, serangga dan haiwan), bahan buatan manusia (kerusi, meja, rumah dan gunting), geometri (bulat, segi tiga dan segi empat) dan rupa barangan kraf tradisional (wau, gasing dan keris) (Zulkifli Yaakob & Mohd. Jamel Ismail, 2007). 

Jenis-jenis Motif dalam Membuat Corak dan Rekaan
Motif terbahagi kepada dua jenis iaitu motif organik dan motif geometrikal. Motif organik merupakan motif yang diilhamkan daripada sumber alam seperti hidupandan bahan semulajadi manakala motif geometrikal diilhamkan berdasarkan bentuk-bentuk geometri. Jenis-jenis motif dalam membuat corak dan rekaan ini boleh didapati daripada rupabentuk daripada alam ciptaan ilahi (Buah Mangga, Daun Siti Fatimah, Bunga Teratai dan Bunga Mawar), rupa bentuk geometri (Segiempat, Bulat, Bujur, Segitiga dan geometri lain) dan rupabentuk kraf tradisiomal (Mohd Zaihidee Hj Arshad, 2007).

Corak dan Penghasilan Corak
Corak terdiri daripada struktur susunan ulangan berdasarkan motif dibuat secara terkawal atau bebas. Corak terdiri daripada Corak Terancang dan Corak Tidak Terancang (Zulkifli Yaakob & Mohd. Jamel Ismail, 2007). Di alam Melayu Corak Tradisi pula telah lama dihasilkan dan kekal hingga ke hari ini (Haziyah Hussin, 2000). Corak dapat dihasilkan daripada pelbagai teknik dan cara. 
Corak Terancang dibuat menggunakan motif yang disusun dengan teratur dan dalam susunan tertentu. Motif ini menghasilkan corak yang mempunyai pelbagai jenis susunan, termasuk penggunaan garisan grid dalam penghasilan corak. (Mohd Zaihidee Hj Arshad, 2007). Corak Terancang dapat dihasilkan melalui kaedah lukisan, catan, cetakan, capan, lipatan dan guntingan, resis, kolaj dan kaligrafi (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2002).
Corak Tidak Terancang dihasilkan secara bebas tanpa mempunyai motif tertentu. Ia boleh dihasilkan  dengan cara seperti merenjis, meniup, mengayak, menggolek dan sebagainya (Mohd Zaihidee Hj Arshad, 2007). Corak Tidak Terancang dapat dihasilkan melalui kaedah pualaman, tiupan, titisan, ikatan dan celupan, renjisan dan percikan, tarikan dan lipatan (Zulkifli Yaakob & Mohd. Jamel Ismail, 2007)
Corak Tradisi mempunyai motifnya tersendiri dan mempunyai nama-nama tertentu yang berunsur tradisi. Contoh corak tradisi adalah seperti Corak Bunga Buluh, Corak Bunga Kiambang dan Corak Pokok Rebung (Mohd Zaihidee Hj Arshad, 2007).

Jenis-jenis Susunan dalam Corak dan Rekaan
Terdapat beberapa jenis susunan dalam corak dan rekaan iaitu Corak Ulang Sekata, Corak Berpusat, Corak Cerminan, Corak Bertindih (Bertimbal), Corak Berselang-seli, Corak Batu Bata, Corak Beralaun (Berombak), Corak Penuh, Corak Turun Satu Suku, Corak Turun Tiga Suku, Corak Separa, Corak Sisik Ikan, Corak Tampak Catur (Tampak Dam), Corak Siku Keluang, Corak Orgee, Corak Tunggal, Corak Sendeng, Corak Jidar dan Corak Berjalur (Zulkifli Yaakob & Mohd. Jamel Ismail, 2007).
Teori ini membolehkan kita mengenali dan mengkaji pelbagai corak dalam alam dan kehidupan seharian. Ia juga menegaskan kegiatan mengenal motif dan olahannya untuk menghasilkan rekaan corak tertentu di alam Melayu. Melalui kegiatan ini memberi peluang kepada kita membuat rekaan corak tidak terancang, corak terancang dan juga corak tradisional dengan teknik tertentu (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2002).

SONGKET DAN BATIK

Seni songket dan batik merupakan bidang kraf tangan budaya yang menjadi identiti bangsa Malaysia yang unggul. Ia merupakan tekstil tradisional Melayu yang unik dan kaya dengan nilai keindahan atau estetika. Kedua-duanya menggabungkan unsur-unsur budaya yang melambangkan corak, pandangan dan pemikiran dalam masyarakat.
Songket adalah hasil daripada tenunan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama-sama dengan benang emas atau perak (Haziyah Hussin, 2006). Nama “kain songket” berasal daripada teknik membuat songket, iaitu menyongket atau menyolek bunga (emas) pada tenunan sutera.  Pada amnya songket terbahagi kepada dua jenis, iaitu tekat tiga dan tekat lima (Siti Zainon Ismail, 2006). Di Asia, seni tekstil dikatakan berkembang dengan pesat setelah perhubungan dagangan dengan negara luar terjalin. Orang Tionghua menyediakan sutera manakala orang India menyumbangkan benang emas dan perak (Norwani Mohd. Nawawi, 2002).
Perkembangan tenunan songket bermula di perkampungan Gerung, Tumpat. Penempatan pembuatan songket amat popular dikawasan kampung terutamanya di negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang. Kelantan merupakan salah sebuah negeri di Malaysia yang mempunyai sejarah penenunan yang awal iaitu pada 1610 s.m. Penenunan songket telah dijalankan semasa pemerintahan Long Pandak (1974-1800) sehingga zaman pemerintahan Sultan Mansur (1890-1910). Terengganu juga terkenal dengan sejarah penenunan songket yang dipercayai bermula awal abad ke 18 (Siti Zainon Ismail, 2006).
Pada zaman dahulu, songket merupakan lambang kemegahan, kemewahan dan ketertinggian terutamanya golongan raja atau pembesar. Kini, songket telah digunakan oleh masyarakat biasa tidak mengira pangkat atau keturunan. Selalunya pemakaian songket dimonopoli oleh golongan hawa kerana mereka terpukau dengan pembuatannya yang halus dan unik (Norwani Mohd Nawawi, 2002). Tradisi menenun masih dapat dikekalkan sebagaimana seratus tahun dahulu. Alat-alat tenun, motif dan ragam hiasnya memperlihatkan keindahan dan kesempurnaannya masih segar hingga ke hari ini (Haziyah Hussin, 2006).
Batik pula adalah pencorakan tekstil menggunaan lilin dan bahan pewarna dari alam semulajadi mahupun pewarna moden (Asharil Suhardi Abdullah, 2004). Perkataan "batik" terbit dari perkataan Jawa "ambatik". Perkataan akhir "tik" bermaksud menitik atau melukis titik-titik (Abdullah Mohamaed, 1990). Kemunculan batik penuh rahsia dan masih dipertikaikan sehingga pernah para arkeologi membuat kenyataan bahawa ‘batik’ lahir di negara-negara Timur.
Konsep asal penghasilan batik adalah dari tamadun Mesir purba, walaupun pada hakikatnya istilah ‘batik’ sebenarnya muncul dari negeri-negeri di kepulauan Melayu (D’zul Haimi Md.Zain, 1984). Batik di Malaysia mula di ketahui pada abad ke 18 apabila wujudnya Batik Minah Pelangi di Terangganu (Siti Zainon Ismail, 1986). Batik mula diperkenalkan di negeri Kelantan pada tahun 1910. Dalam tahun 1911, Haji Che Su bin Haji Ishak memulakan perusahaan Batik di Kelantan. Pada tahun 1922 beliau telah mengeluarkan batik menggunakan blok kayu. Pada tahun 1926 kemasukan pewarna kimia dari Eropah telah membawa perkembangan Batik (Perpustakaan Negara Malaysia, 2000). Tidak dinafikan, batik Kelantan dan Terengganu banyak dipengaruhi corak-corak batik dari batik Jawa sehingga suatu ketika dinamakan kain batik Lasem Kelantan, kain batik Solo Kelantan dan kain batik Pekalongan Kelantan.
Kini batik Malaysia telah berkembang pesat dan dapat menghasilkan identiti tersendiri daripada pelbagai pengalaman dan eksperimentasi (Norwani Md. Nawawi, 2008). Menurut Sullivan F., 1968 dalam Harozila binti Ramli. (2007)…lukisan batik akan menjadi lambang kesenian negara bagi Malaysia, bahkan akan menjadi salah suatu kesenian yang cukup sempurna di dunia.”. Ini menunjukkan batik Malaysia telah berkembang melampaui dunianya melalui proses pemodenan konsep, teknik dan falsafah (D’zul Haimi Md.Zain, 1984).
Kain atau tekstil batik dan songket digunakan dan mempunyai tujuan yang tersendiri. Pada zaman dahulu songket hanya dipakai oleh golongan raja dan bangsawan sebagai tanjak, samping, kain selendang dan persalinan diraja bagi menaikkan status mereka. Songket melambangkan kehormatan dalam sesebuah masyarakat melayu (Haziyah Hussin, 2006). Batik pula berfingsi sebagai cenderamata dan digemari sejak kesultanan Melaka lagi, dimana Hang Nadim diperintahkan oleh Sultan Mahmud bagi membeli kain Serasah atau Batik dengan empat puluh bunga pada setiap satunya (A. Samad Ahmad, 1986). Kini, songket mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk menghadiri majlis-majlis tertentu, pakaian pengantin, persembahan kebudayaan dan pertunjukan fesyen (Haziyah Hussin, 2006). Mengikut kajian, kebanyakan pengguna yang memakai songket antara 20 hingga 50 tahun (Norwani Mohd. Nawawi, 2002).
Batik pula digunakan untuk membuat tudung, baju, kain sarung atau batik lepas dan digunakan dalam majlis-majlis formal dan majlis keramaian. Ia menjadi pakaian rasmi kepada kakitangan kerajaan setiap hari khamis bekerja dan turut menjadi pakaian seragam pramugari kapal terbang MAS (Perpustakaan Negara Malaysia, 2000). Kombinasi nilai tradisional dan kontemporari dalam pengeluaran batik dan songket dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa. Keanggunannya diilhamkan pada pelbagai barangan dalam bentuk hantaran perkahwinan, barangan kraftangan, perhiasan dalaman, kelengkapan rumah, cenderamata dan aksesori (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 2009). 
Apa yang selama ini menjadi identiti bangsa, sebagai warisan tradisi wajar dipertahankan terutama membabitkan seni dan budaya tempatan. Justeru, sebagai warisan tradisi khazanah bangsa, seni tekstil ini perlulah dipelihara agar keindahannya tidak terus dilupakan oleh generasi akan datang.


KRAF TRADISIONAL MELAYU: FALSAFAH, KONEP SAINS & MATEMATIK DAN MAKNA & NILAI


Terdapat pelbagai jenis kraf tradisional contohmya batik, anyaman, tekatan, tembikar, ukiran, tenunan, anyaman, tembikar, wau, gasing dan perhiasan diri (Khairuddin Talib, 2007). Setiap jenis kraf tradisonal ini mempunyai falsafah, konsep sama ada Sians atau Matematik, makana dan nilainya yang tersendiri.

Falsafah
Menurut Zulkifli Hanafi (1996), falsafah kraf Melayu-Islam sebenarnya adalah ekspirasi kecintaan pada keindahan. Keindahan pula lahir dari kejujuran seni yang memerlukan kesabaran dan ketekunan. Falsafah seni kraf Melayu banyak menitikberatkan soal hakum hakam agama Islam. Oleh itu kebanyakan hasil seni kraf Melayu adalah berlandaskan anjaran agama Islam. Dalam hal membuat gambar jasad hidup, terutamanya figura manusia adalah dilarang dan ini banyak dijelaskan dalam hadith dan ayat Al Quran. Menurut Yusuf al Qardawi (2001) yang dipetik dari bukunya “Seni Menurut Perspektif Islam” dalam Zainon Abdullah (2005), telah mengariskan beberapa kesimpulan terhadap hukum gambar dan pembuat gambar.
Jenis gambar yang dilarang keras dan paling berat dosanya ialah gambar-gambar yang di sembah selain Allah. Pembuat gambar ini adalah kafir, jika ia mengetahui dan sengaja melakukannya. Dalam hal ini gambar yang berjasad lebih berat dosanya dan lebih tidak dibenarkan.  Diikuti dengan gambar-gambar yang dibuat dengan tujuan untuk tidak di sembah, tetapi sengaja bermaksud meniru ciptaan Allah atau membuat pengakuan yang ia boleh membuat dan menciptakan makhluk sebagaimana Allah menciptakan makhluk. Gambar ini juga adalah haram. Kerana dengan cara yang demikian, ia telah menghampirkan dirinya kepada kekufuran dan ini bergantung kepada niatnya sendiri.
Seterusnya diikuti dengan gambar-gambar berjasad yang tidak di sembah, tetapi di agung-agungkan seperti gambar-gambar raja-raja, pemimpin pembesar dan lain-lain, yang hendak di abdikan melalui patung-patung, yang mereka dirikan ditempat-tempat terbuka dan tempat-tempat lain, baik yang sempurna bentuknya atau yang tidak sempurna. Gambar ini adalah haram dan pelakunya adalah berdosa. Gambar-gambar berjasad atau patung yang mengambarkan makhluk yang bernyawa yang tidak disucikan dan tidak pula diagungkan. Gambar-gambar ini berdasarkan sepakat ulama adalah haram kecuali yang rendah mutunya seperti mainan kanak-kanak dan bentuk-bentuk boneka yang dibuat dari bahan makanan untuk di makan.
Termasuk dalam erti kata berdosa ialah membuat dan memiliki gambar yang tidak berjisim yang diagungkan seperti gambar-gambar ketua pemerintah, para pemimpin dan lain-lain, lebih-lebih lagi, jika gambar-gambar mereka ini didirikan atau digantungkan. Larangan ini semakin kuat, jika individu-individu yang digambarkan itu, adalah orang-orang yang zalim, fasik dan juga atheis. Kerana mengagungkan mereka bererti menghancurkan Islam. Manakala gambar-gambar makhluk bernyawa yang tidak berjasad tetapi tergolong di dalam aspek berlebih-lebihan dan bermewah-mewahan seperti dinding yang dihiasi dengan gambar-gambar dan seumpamanya, hukumnya adalah makruh.

Konsep Sains dan Matematik
Produk kraf Melayu yang terhasil sudah cukup membuktikan bahawa masyarakat melayu mempunyai daya pemikiran yang bukan hanya mampu mengenalpasti bahan dan proses malah menjalankan perkiraan mental ‘mental arithmetic’ secara tepat dan terperinci dan menaakul secara saintifik di dalam penghasilan produk atau hasil seni. Jika diteliti secara mendalam konsep saintifik dan matematik dalam pemikiran masyarakat Melayu sememangnya tersirat melalui gubahan dan corak yang sangat halus dan berseni yang dihasilkan.
Pemikiran dan kemahiran saintifik dan matematik telah lama wujud di kalangan pandai kraf dan sekaligus menunjukkan ianya memang telah lama berkembang dan digunakan oleh orang Melayu tanpa disedari. Kesenian seni kraf memerlukan banyak kemahiran sains dan matematik untuk menghasilkan kombinasi motif dan corak yang indah dan simetri. Semua ini memerlukan pemikiran dan kebijaksanaan di dalam ilmu sains dan matematik itu sendiri di dalam proses untuk menghasilkankannya (Marzita Puteh, Sadiah Baharom & Jamal Omar, 2007).
Menurut Dolmer, P. (1997), pemikiran saintifik individu berkembang dari peringkat yang rendah kepada peringkat yang lebih tinggi mengikut perkembangan kognitif seseorang individu. Perkembangan pemikiran saintifk berlaku apabila individu berupaya menguasai pengetahuan dan proses saintifik melalui pemikiran logik dan penaakulan. Dari aspek ini individu boleh beroperasi pada peringkat diskriptif di mana mereka menjalankan operasi seperti pemerhatian, menyenaraikan fakta, pengkelasan dan membuat generalisai. Pemikiran saintifik peringkat tinggi pula melibatkan individu menjalankan proses-proses seperti berfikir secara kombinatorial, mengawal pembolehubah dan menjana hipotesis, menjalankan pemikiran-pemikiran berkadaran, kebarangkalian dan korelasi.
Jika diteliti dari peringkat pemprosesan bahan mentah sehingga terhasil produk seninya adalah jelas dan ketara bahawa konsep saintifik memainkan peranan yang besar di dalam kraf. Peringkat pemprosesan bahan mentah melibatkan pemikiran saintifik dari beberapa aspek dimana
pemerhatian yang teliti dibuat terhadap jenis bahan yang diperolehi, mengenalpasti ciri-ciri bahan seperti kematangan, saiz dan jenis, mengkelaskan bahan mengikut ciri dan membuat generalisasi seperti menentukan bahan yang paling sesuai berdasarkan fakta-fakta yang dikumpul (Marzita Puteh, Sadiah Baharom & Jamal Omar, 2007).
Pemikiran sebegini lebih bercorak deskriptif dan banyak menggunakan pengalaman konkrit serta pengetahuan sedia ada mereka. Oleh kerana pendedahan kepada konsep saintifik secara formal tidak diperolehi, masyarakat melayu banyak menggunakan pemikiran serta menaakul secara logik. Pengetahuan ini digunakan dan diuji secara ‘trial and error’ untuk memperoleh bahan paling baik bagi penghasilan produk
Seni kraf masyarakat Melayu juga boleh menceritakan proses pemikiran saintifik peringkat tinggi yang tersirat di dalam setiap gubahan mereka. Diantarannya ialah termasuk keupayaan membuat pemikiran kombinatorial menentukan kombinasi genap dan ganjil di dalan gubahan, keupayaan mengawal pembolehubah dan menjana hipotesis apabila menentukan jumlah penjalin untuk mendapatkan saiz serta bentuk yang diinginkan, menjalankan pemikiran berkadaran, kebarangkalian serta korelasi dalam aspek seperti membuat korelasi di antara saiz bahan dan saiz produk yang dihasilkan, berfikir secara berkadaran apabila menentukan pewarnaan pada bahan mentah dan proses pemikiran secara kebarangkalian terhadap corak yang akan dihasilkan (Marzita Puteh, Sadiah Baharom & Jamal Omar, 2007).
Kenyataan di atas sudah jelas menunjukkan seni kraf Melayu berunsur Islam dengan corak dan pengiraan geometriknya dan proses-proses saintifiknya menceritakan bagaimana masyarakat Melayu dahulu kala berfikir dan menaakul secara saintifik.

Makna dan Nilai
Barangan kraftangan merupakan barangan yang berpotensi untuk dipasarkan. Ianya adalah berbentuk tradisional dan bernilai kebudayaan, ianya dihasilkan dengan menggunakan alat-alat yang senang dan mudah diperolehi (Wan Ahmad Fuad Wan Abdul Aziz et. al.,1990). Kebanyakan cendiakawan barat menyamakan karya-karya tradisi kesenian Islam dengan kraf pertukangan. Namun begitu konsep pertukangan kraf dengan keindahan wujud di dalam karya kesenian Islam. Karya-karya kesenian Islam adalah berlandaskan tauhid dan keesaan Allah. Di dalam mengkaji keindahan kesenian Islam, teori yang di popularkan oleh Ismail al Faruqi dan Lamya al Faruqi sering digunakan. Diantaranya ialah dari segi nilai dan mesej sesebuah karya perlulah terlebih dahulu diberi penekanan estetika berasaskan nilai estetika tauhid. (Zainon Abdullah, 2005).
Hasil karya kraf yang dihasilkan di dalam kesenian Islam hendaklah diberi pengisian nilai-nilai tauhid dan moral berdasarkan Al Quran dan Sunnah. Dengan demikian hasil kraf kesenian Islam akan dikawal oleh peraturan Quran dan Sunah. Hasil kraf yang dipandu oleh Quran dan Sunnah tersebut merupakan nilai sejagat agama Islam yang bersifat universal dan sezaman. Hasil karya yang bersifat sezaman tersebut juga membawa ciri-ciri kesejagatan masyarakat Islam. Konteks kemasyarakatan tersebut di dalam kesenian Islam disebut sebagai ciri kolektif. Karya kraf yang bersifat kolektif tersebut disamping diterima oleh masyarakat Islam sejagat juga berperanan sebagai instrumen untuk menyatukan ummah. Konsep kesatuan tersebut adalah intipati sifat kolektif di dalam seni Islam ataupun konteks berjemaah di dalam agama Islam. Dengan demikian karya kraf yang dihasilkan oleh seniman Melayu-Islam mestilah mempunyai ciri-ciri kolektif. Ciri-ciri koletif tersebut berlawanan dengan sifat-sifat keindividuan apatah lagi kehebatan seniman. Nilai individu dan kehebatan seniman adalah sifat yang terenggang dan jauh dalam kontek tradisi kesenian Islam (Zainon Abdullah, 2005).


Ahad, 28 Disember 2014

KRAF TRADISONAL MELAYU: PENGGARAPAN IDEA, MENTAFSIR IDEA DAN PENGARUH DALAM MEMBERI MAKNA

Perbezaan dalam menggarap, mentafsir dan memberikan sesuatu kepuasan dalam pembuatan kesenian telah menambahkan keanekaragaman dalam hasil seni terutamanya seni kraf Melayu. Ciptaan-ciptaan baru dan unik telah lahir dari masa ke semasa hasil pengamatan dan penggarapan idea dan dari seorang pencipta kepada seorang pencipta yang lain. Ciptaan-ciptaan seni ini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka dan ia juga digunakan sebagai kehidupan harian (Khairuddin Talib, 2007).

(a)         Proses Garapan Idea
Menurut Al Faruqi dalam Zainon Abdullah (2005), ciri-ciri pernyataan estetika dalam proses penggarapan idea kesenian Islam, ada enam prinsip. Pertama ialah abstraksi atau kemujaradan, kedua struktur modular, ketiganya gabungan berurutan, keempatnya perulangan kelimanya dinamisme dan akhirnya interaksi atau kerumitan. Maksud setiap perinsip tersebut seperti berikut.
Abstraksi atau kemujaradan. Di dalam karya seni Islam salah satu sifat pentingnya ialah infiniti. Corak infiniti dalam kesenian Islam adalah bersifat mujarad dan abstrak. Sekiranya jasad dari alam atau pun subjek rujukan digunakan, subjek tersebut perlulah dinutralisasikan dan digayakan sehingga menghilangkan jasad atau subjek rujukan yang bersifat alamiah tersebut. Sebagai contoh sumber motif seperti daun sirih digarap oleh tukang kraf untuk dijadikan motif daun sirih. Motif daun sirih menjadi lambang kepada daun sirih yang asal.
Struktur modular. Karya-karya kesenian Islam terdiri daripada banyak modul kecil tersusun dan digabungkan menjadi satu susunan yang lebih besar. Setiap modul ini adalah suatu entiti yang membawa satu ukuran kemuncak dan kesempurnaan yang membolehkannya ditanggapi sebagai unit ekpressif dan memuaskan dengan sendirinya. Ciri-ciri ini jelas kelihatan pada raka corak dan susunan motif seni Batik dan songket Melayu. Contoh motif tersebut adalah motif awan larat.
Gabungan berturutan. Modul-modul asas diulang-ulang seterusnya membentuk suatu gabungan besar. Gabungan berturutan yang lebih besar dalam karya-karya kesenian Islam tidak sekali-kali menghancurkan identiti dan ciri unit yang lebih kecil yang telah membentuknya. Ulangan gabungan-gabungan besar dipelbagaikan dan disambung dengan entiti lain yang lebih kecil serta dengan entiti yang lebih besar untuk membentuk gabungan lain yang kompleks. Dengan kaedah ini menghasilkan banyak titik lenyap atau pusat tumpuan estetika. Oleh yang demikian titik fokus tunggal tidak wujud bersama satu kemuncak atau titik kesimpulan. Titik lenyap yang banyak ini menjadikan karya seni Islam tidak menumpukan kepada permulaan atau pengakhiran, dan sentiasa bersifat infiniti.
Perulangan. Kesenian Islam menggunakan perulangan yang sangant banyak. Perulangan motif, modul struktural, dan juga menggunakan kombinasi berturutan yang kelihatan berterusan serta berkesinambungan. Kemujaradan dipertingkat serta diperkukuh dengan mengawal pengasingan unit-unit bahagian, yang menghalang sebarang modul dalam rekabentuk itu daripada dipentingkan atau dibandingkan dengan yang lain. Ciri-ciri pengulangan motif ini sering kali kata dapat amati pada hasil karya kraf Melayu terutamanya pada batik cap dan sulaman songket Melayu.
Dinamisme. Rekabentuk kesenian Islam mestilah dinamik dan bersifat melangkaui lingkungan masa atau ruang. Senibina tugu dan seni tampak banyak menggunakan ruang. Seni-seni itu memenuhi ruang fizikal dan menggunakan unsur-unsur ruang seperti titik, garisan, bentuk dan isipadu. Selain daripada ciri-ciri luaran dalam aspek ruang, ciri-ciri yang dianggap perlu secara universalnya adalah yang mungkin mempunyai orientasi temporal yang agak kuat. Corak infiniti tersebut mestilah berupaya menarik penglihatan dan pemikiran melalui rangkaian pandangan serta wawasan yang mesti difahami secara berangkai-rangkai. Ciri-ciri dinamisme ini banyak dipraktikkan dalam seni ukiran kayu di Malaysia.
Intrikasi atau kerumitan. Ciri intrikasi atau kerumitan ini menambahkan kebolehan sebarang corak atau arabes untuk menarik perhatian serta tumpuan penonton kepada entiti strurtural yang digambarkan. Satu garis lurus atau lembaga, walaubagaimana indah sekalipun dibuat, tidak akan menjadi satu-satunya bahan ikonogerafik bagi sesuatu corak Islam. Perkembangan dinamisme dan momentum corak saujana dapat dilakukan dengan pergandaan unsur-unsur dalaman dengan penambahan kerumitan terhadap perlaksanaan dan penambahan gabungan.

(b)         Proses Mentafsir Idea
Manusia mempunyai emosi dan perasaan mahu meluahkan perasaan mereka. Manusia ingin berkongsi perasaan dan emosinya dengan orang lain. Justeru terdapat pelbagai cara perlakuan manusia bagi menterjemahkan perasaan dan emosinya itu. Wolff, Charlotte dalam bukunya “Psychology of Gesture” (1972) telah mengkaji perlakuan manusia dan menyatakan manusia mengeluarkan pernyataan perasaannya di bawah sedar dan tanpa kawalan diri. Ini menunjukkan manusia dalam kehidupannya mampu mencipta, menampung dan menggunakan simbol sebagai medium untuk berkomunikasi dan manusia hidup dalam belantara simbol. Kemampuan manusia boleh diperolehinya melalui pendidikan, kerana pendidikan merupaakan satu proses budaya. Ini adalah kerana budaya tercipta melalui seni warisan bangsanya. Simbol yang dicipta merupakan hasil daripada imaginasi dan idea yang digarap oleh seniman. Oleh itu symbol tersebut harus ditafsirkan dalam bentuk nyata untuk diamati dan digunakan untuk tujuan tertentu.
Mempelajari cara seniman mentafsir idea untuk membentuk seni dengan memperolehi pelbagai kesan melalui penggunaan asas senireka dan bahasa seni visual. Seniman mentafsir idea dan terusnya merealisasikan idea tersebut bagi mendapat kepuasan diri dan faedah kepada diri dan mayarakat sekitar. Contohnya penghasilan seni  atau barang-barang kraf dapat memberi kepuasan kepada pencipta dan memberi manfaat kepada masyarakat sama ada dengan cara mengamati atau menggunakannya dalam kehidupan seharian. Barang-barang kraf ini dihasilkan adalah mengikut kaedah reka bentuk dan hiasan tertentu. Motif-motif ataupun reka corak yang terdapat pada kraf tersebut adalah merupakan hasil ciptaan tersendiri kerana telah diubahsuai oleh tukang pandai dengan menggunakan daya kreativiti untuk memenuhi kehendak cita rasa tempatan (Khairuddin Talib, 2007).
Corak dan rekaan merupakan satu bidang penting dalam menghasilkan sesuatu karya seni. Pada dasarnya, tanpa corak dan rekaan, hasil seni baik yang tradisional mahupun yang mengikut zaman akan tidak terhasil. Kegiatan ini memberi peluang kepada kita untuk memahami pelbagai cara dalam menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain. Corak dan rekaan dapat dipadankan kepada mana-mana hasil daripada bidang kegiatan lain seperti binaan, kraf dan sebagainya (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2002). Dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2008), corak membawa maksud ragi atau bunga-bungaan pada kain (barang anyaman, tenunan dll) manakala rekaan membawa maksud buatan dan ciptaan. Dari sudut Pendidikan Seni pula, corak merupakan susunan motif sama ada secara teratur, terancang atau secara bebas (Mohd Zaihidee Hj Arshad, 2007). Motif pula membawa maksud sesuatu yang dijadikan dasar atau corak pada lukisan (ukiran dll) (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008), manakala menurut Mohd Zaihidee Hj Arshad (2007) motif ialah sama ada rupa atau bentuk asas dalam satu-satu rekaan atau gubahan. Segala corak rekaan dan motif ini terhasil daripada proses pentafsiran idea. Melalui proses ini idea atau imaginasi pereka akan dapat direalisasikan untuk menjadi produk atau hasil karya kraf.

(c)          Pengaruh Dalam Memberi Makna
Tidak dinafikan jika manusia dikatakan sebagai makhluk budaya. Manusia hidup dalam aura budaya yang penuh dengan simbol-simbol, yang menyiratkan makna, yang difahami dan dihayati bersama dalam kelompok masyarakatnya. Geertz, Clifford (1995) seorang ahli antropologi menyatakan bahawa “Manusia hidup dalam jalinan makna-makna yang ditenunnya sendiri”. Oleh itu, dalam hidup masyarakat majmuk contohnya di Malaysia, sudah pasti pengaruh budaya boleh menyerap antara satu sama lain yang mempunyai budaya yang berbeza. Begitu juga dengan pengaruh agama dan kepercayaan. Ia dapat mempengaruhi norma, cara hidup dan sosial masyarakat termasuklah kesenian seperti kraf tangan.
Seni kraf Melayu ini adalah melambangkan hubungan yang erat antara orang Melayu dengan Agama Islam. Setiap hasil kraf tradisional Melayu mempunyai pengaruh dan keunikan dalam memberi makna yang tersendiri. Penghasilan kraf ini disesuaikan dengan alatan dan bahan yang tertentu. Ini melibatkan budaya penghasilannya seperti penggunaan buluh, kayu dan daun seperti nipah, pandan, terap, palas dan mempelas. Ini sememangnya memperlihatkan kecekapan tukang mahir memanipulasi bahan di persekitarannya. Begitu juga dengan penciptaan ragam hias dan ragam bentuk hasil kraf yang mempunyai pengaruh dan maksud yang tertentu. Karya seni dalam kebudayaan Melayu mempunyai sifat yang unik dan tersendiri, bukan sahaja berbeza dengan karya seni kebudayaan-kebudayaan besar di dunia malahan juga berbeza dengan karya seni daripada kebudayaan kelompok yang berhampiran dengannya (Khairuddin Talib, 2007).