Cari Blog Ini

Sabtu, 3 Januari 2015

PENGHASILAN RESIS MUDAH MELALUI PENEROKAAN BERTEMAKAN ORGANIK DAN GEOMETRIK


Menggambar merupakan salah satu bidang dalam Seni Visual di peringkat Sekolah Rendah. Bidang menggambar menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri seseorang murid. Bidang menggambar meliputi penerokaan kesan seni serta mengenali pelbagai alat bahan dan kegunaannya. Kegiatan menggambar membolehkan murid mengenali dengan lebih dekat lagi pelbagai kemahiran asas dan teknik dalam proses rekaan. Kesedaran murid terhadap alam sekitar melalui pemerhatiannya menjadi fokus utama bidang menggambar ini. Selain dari itu bidang menggambar dapat memperkembangkan persepsi visual murid dan kesedaran terhadap asas seni reka seperti warna, garisan, susunan dan kesannya. Dengan ini murid akan dapat menyelaraskan pemerhatian mereka dan pengalaman mereka dalam aktiviti hasil kerja seni. Aspek apresiasi hasil kerja perlu diadakan sebagai satu proses pembelajaran murid. (Haslinda Madon, 2007).

1.1.1        Menggambar
Menurut Haslinda Madon (2007), menggambar boleh definisikan sebagai representasi visual sesuatu objek atau imej yang dihasilkan di atas permukaan rata. Ia mengandungi komposisi artistik yang dihasilkan melalui aplikasi warna di atas permukaan rata. Ia juga merupakan gambaran mental yang jelas dan pemberitahuan imej mental seseorang. Ilustrasi yang digunakan adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang sesuatu objek. Bidang ini merupakan satu bidang yang menegaskan perkembangan persepsi terhadap aspek melukis serta kegiatan menggunakan pelbagai media dan teknik dengan menekankan aspek ruang, struktur, imbangan dan komposisi. Bidang ini menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri murid. Representasi visual yang dihasilkan dalam bentuk dua dimensi. Gambar sebagai satu artifak yang menunjukkan satu kecenderungan terhadap sesuatu imej atau objek.

1.1.2        Resis
Salah satu aktiviti menggambar ialah resis. Resis ialah teknik menghasilkan lukisan atau reka corak dengan menggunakan bahan-bahan yang tidak bercampur antara satu sama lain seperti cat air dan cat minyak, cat air dan lilin dan sebagainya yang boleh dikatakan sebagai proses penolakan warna. Teknik ini dapat dilihat dengan jelad didalam proses penghasilan batik lukis dan batik canting. (Kementerian Pelajaran Malaysia, 1998). Resis mudah dalam kegiatan menggambar boleh dihasilkan menggunakan warna-warna basah dan contengan lilin atau krayon. Lilin atau krayon yang digunakan dalam aktiviti resis menjadi pelindung kepada warna asal atau terdahulu yang terdapat pada permukaan kertas. (Haslinda Madon, 2007).

1.1.3        Penerokaan

Menurut Abdul Shukor Hashim, et al., (2007). E. Paul Torrance telah mencipta dan membangunkan teori kreativiti yang membantu menjelaskan tujuh perkara utama di dalam proses penjanaan kreativiti seseorang individu. Satu daripada tujuh perkara tersebut adalah penerokaan. Penerokaan boleh diaplikasikan dalam aktiviti menggambar bagi proses memupuk dan mengembangkan kreativiti diri. Penerokaan membawa maksud menyelidik untuk megetahui sesuatu yang belum diketahui lagi iaitu melaksanakannya dengan cara mejelajah. Dalam erti kata yang lain, meneroka adalah bermaksud menggunakan pelbagai bahan dan kaedah. Pengalaman penerokaan merupakan sesuatu situasi pembelajaran. Penerokaan dapat dibuat melalui eksperimen, menyelidik dan mencipta menggunakan pelabagai idea dan bahan bagi meningkatkan kefahaman diri tentang aktiviti menggambar khususnya dan Pendididikan Seni Visual amnya.

Khamis, 1 Januari 2015

SUSUNAN CORAK KAIN BATIK

Terdapat pelbagai jenis batik iaitu Batik Blok atau Terap, Batik Canting dan Batik Skrin (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 2009). Batik mempunyai keistimewaannya yang tersendiri darisegi nilai budaya, motif, reka corak dan fungsi. Dalam hal ini Asharil Suhardi Abdullah menjelaskan dalam Majalah Dewan Budaya keluaran Julai 2004 bahawa:

“Istimewanya seni batik kerana batik merupakan salah satu seni tradisi budaya yang lahir dan berkembang di kepulauan Melayu serta berkaitan dengan pakaian para penduduknya. Motif yang sering menghiasi ruang badan sesebuah kain sarung sudah semestinya motif-motif etnik. Setiap daerah yang menghasilkan batik sabagai bahan keperluan harian pastinya mempunyai motif-motif etnik yang perlu diangkat dan dikembangkan agar ia kekal dan diketahui oleh setiap generasi baru. Batik tradisional ini mempunyai makna simbolik yang tinggi dan penggunaannya didasarkan pada status sosial pemakai dalam masyarakat daerah tertentu.” 

Motif Batik


Bentuk-bentuk motif batik dihasilkan dalam dua bentuk utama iaitu Motif Organik dan Motif Geometrik. Motif Organik berunsurkan alam semulajadi seperti awan larat, tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan, dan haiwan (Perpustakaan Negara Malaysia, 2000). Inspirasi Motif-motif dalam rekaan batik diinspirasikan daripada alam semula jadi yang berhubung kait dengan kehidupan seharian. Pereka-pereka batik menggubah bentuk-bentuk flora, fauna, abstrak dan geometri menjadi reka corak batik yang indah dan menarik (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 2009). Dengan penggunaan motif-motif etnik yang terdiri daripada imej-imej flora seperti motif pucuk rebung, bunga cempaka, bunga airmata kasih manakala motif fauna seperti motif kala jengking, motif rama-rama, motif burung merak dan juga motif ayam. Namun begitu, motif-motif fauna ini telah diubahsuai mengikut daya kreativiti masyarakat dahulu lakaran yang dihasilkan tidak menyerupai bentuk yang sebenar, kerana menghormati ajaran agama Islam (D’zul Haimi Md.Zain, 1984). Antara motif yang paling popular digunakan dalam penghasilan batik ialah motif pucuk rebung, bunga ketola, bunga cempaka, bunga kiambang dan motif-motif ringkas seperti titik, bentuk empat persegi dan bulat (Zailani Yaacob & Azimah A. Samah, 2004). 

Susunan Corak Batik
Susunan dan reka corak motif disesuaikan mengikut reka letak dan kedudukannya pada kain. Antara susunan reka corak motif yang digunakan ialah Corak Berdiri, Corak Jalur, Corak Catur, Corak Ulangan Bersilang, Corak Tapak Dam, Corak Kisi-kisi, Corak Melintang, Corak Menyeruluh, Corak Serong, Corak Ulangan Batu Bata dan Corak Tompok-tompok Bertabur (Zailani Yaacob & Azimah A. Samah, 2004).

 Bahagian Batik
Bahagian kain batik terdiri daripada Kepala Kain, Pengapit Kepala Kian, Badan Kain dan Kaki Kain. Bahagian badan kain selalunya dihiasi dengan motif penuh seperti bunga tunggal yang membantuk corak, pohonan bunga dan motif lain yang lebih bebas. Motif-motif ini sering disatukan bentuknya dengan bahagian lain badan kain dengan motif sepeti keluk berbunga, keluk berlingkar, lengkungan separuh bulat dan motif pinggir awan. Untuk bahagian kepala kain, pilihan utama ialah motif pucuk rebung (Zailani Yaacob & Azimah A. Samah, 2004).